malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Piala AFC : JDT garang, Felda United kecewa
Diterbitkan:  Feb 21, 2017 10:53 PM
Dikemaskini: 3:30 PM
ADS

Skuad Harimau Selatan tidak mempunyai masalah besar ketika berdepan kelab dari Kemboja, Boeung Ket Angkor FC dengan kemenangan 3-0 pada aksi pertama Kumpulan F, Piala AFC, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Larkin, anak buah Benjamin Mora garang mempamerkan isyarat mahu menang seawal minit ketiga melalui sentuhan Gabriel Guerra.

Malah, pemain tengah Nazmi Faiz Mansor berjaya mengejutkan lawan dengan jaringan kedua untuk JDT, pada minit ke-11.

Juara edisi 2015 itu menggandakan jaringan di penghujung separuh masa kedua melalui kapten mereka, Safiq Rahim melengkapkan kemenangan 3-0.

Mereka bakal berdepan kelab Magway FC untuk aksi kedua kumpulan dijadualkan pada 7 Mac depan.

Terdahulu, satu lagi wakil Malaysia - Felda United tewas tipis dikecewakan Tampines Rovers 1-2 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Kehadiran jurulatih baru, B Sathianathan ternyata belum memberi impak besar buat skuad The Fighters.

Bersaing dalam Kumpulan G, penampilan pertama mereka bagaimanapun tetap memberi saingan sengit.

Beraksi di atas padang basah, kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan yang berwaspada khususnya di separuh masa pertama.

Tanpa gol dalam 45 minit pertama, namun tuan rumah berjaya membolosi gawang Felda United pada babak masa kedua.

Umpanan menarik Raspreet Sandhu berjaya disempurnakan dengan tandukan pemain tengah importnya, Son Yong Chan untuk gol pertama pada minit ke-62.

Tampines Rovers menggandakan jaringan pada minit ke-82 melalui sentuhan pemain senior Khairul Amri Mohd Kamal.

Kemasukan Khairul Amri selaku pemain gantian ternyata memberi impak positif.

Selesa mendahului 2-0, namun tuan rumah dikejutkan dengan jaringan Fazrul Hazli Kadri pada minit ke-87 untuk keputusan 2-1.


 

Lihat Komen