malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
FAP beri kata putus pada Westwood
Diterbitkan:  Feb 21, 2017 3:08 PM
Dikemaskini: 7:19 AM
ADS

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) memberikan kata putus kepada jurulatih skuad Harimau Kumbang, Ashley Westwood susulan prestasi teruk pasukan itu.

Presidennya, Zairil Khir Johari berkata, FAP kini meletakkan penanda aras kepada jurulatih dari England itu melalui kelayakan Piala Malaysia 2017.

"Perlu ditegaskan di sini bahawa Westwood perlu membuktikan pendekatan dan cara pengendalian beliau benar-benar berkesan dengan mencatatkan kemenangan dan keputusan memuaskan.

"Kaedah untuk mengukur kejayaan ini adalah melalui usaha melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia 2017," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pasukan Pulau Pinang kini dibelenggu prestasi hambar dengan kekalahan lima kali berturut-turut dalam saingan Liga Super 2017.

Malah, mereka dibelasah teruk dengan keputusan 6-1 ketika berdepan pasukan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu lalu.

Zairil berkata, walaupun kecewa dengan prestasi tersebut, FAP berharap semua pihak bersabar kerana usaha memperbaiki prestasi dan persembahan pasukan negeri kita memerlukan sedikit masa lagi.

"Dengan itu, pihak kami akan terus memberi masa yang sewajarnya kepada pendekatan dan cara pengendalian pasukan oleh Westwood.

"Jika beliau gagal, tindakan yang tegas akan diambil," katanya.

Tambah anggota Parlimen Bukit Bendera itu, pihak jawatankuasa eksekutif FAP membuat keputusan untuk memberi kata putus kepada Westwood supaya pasukan Pulau Pinang layak ke pertandingan Piala Malaysia 2017.

"Jika berjaya, ia akan menjadi satu peningkatan berbanding musim lalu.

"FAP memohon jasa baik semua pihak yang terlibat, khususnya peminat dan penyokong setia Pulau Pinang untuk memberi sokongan padu kepada pasukan negeri yang kita sayangi bersama. Untuk negeri kita," jelasnya.

Lihat Komen