malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
TMJ jemput peminat bola sepak berjumpa
Diterbitkan:  Feb 17, 2017 11:54 AM
Dikemaskini: 4:14 AM
ADS

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjemput semua peminat bola sepak di seluruh negara datang berjumpa dengannya di Kuala Lumpur, pada minggu depan.

Katanya, mereka pada boleh bertanya apa sahaja dan menyuarakan kekecewaan mereka ketika ini kepadanya dan beliau akan memberikan pandangan dan jalan penyelesaiannya.

“Saya tidak takut untuk bertemu dengan penyokong, atau gemuruh kerana saya tahu apa yang saya lakukan.

“Saya tahu apa yang akan saya lakukan dan saya sangat yakin bahawa kita akan mendapat hasilnya,” katanya dalam dalam satu catatan di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail bagaimanapun berkata beliau tidak berminat untuk bercakap dengan media kerana kata-katanya akan diputarbelitkan dan ahli gabungan yang tidak berminat untuk mendengar apa yang diperkatakannya ebelum ini.

Menurutnya, sesetengah mereka tidak mempunyai keinginan untuk meningkatkan bola sepak.

“Saya hanya berminat mahu bercakap dengan orang-orang yang benar-benar mahu meningkatkan bola sepak dan saya percaya orang itu adalah penyokong.

“Dan saya di sini bertanggungjawab sebagai suara penyokong, mewakili penyokong tanah air untuk mengembangkan dan memajukan bola sepak.

“Saya berada disini untuk berkhidmat kepada rakyat dan ini adalah peluang untuk anda memberitahu saya apa yang anda mahukan dan saya akan lakukan yang terbaik untuk melaksanakannya,” katanya.

Arahan menteri sokong Anuar

Sebelum ini Tunku Ismail menerima pencalonan untuk bertanding merebut jawatan presiden bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau dijangka akan berdepan dengan bekas Timbalan Presiden FAM dan bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Anuar Musa yang juga seorang ahli politik.

Mengulas panjang lebar mengenai percubaan kali keduanya untuk menerajui FAM, Tunku Ismail berkata “FAM adalah organisasi yang baik tetapi dikendalikan oleh orang yang salah.”

“Malah ada sesetengah menyatakan, ‘FAM adalah sebuah organisasi yang tidak baik, apakah yang sedang Tunku lakukan?’

"Jawapan saya adalah, FAM bukan sebuah organisasi yang tidak baik. FAM adalah organisasi yang baik tetapi dikendalikan oleh orang yang salah.

“Semoga kita tidak pernah lupa bahawa FAM memerlukan pemimpin yang dilahirkan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Secara sinis tetapi tanpa merujuk mana-mana individu, katanya, FAM tidak memerlukan seseorang yang kelaparan untuk berkuasa dan berpura-pura berkhidmat kepada rakyat tetapi kenyataannya lebih kepada kepentingan dan keuntungan peribadi sendiri.

Beliau bekata FAM adalah organisasi yang indah tetapi dimusnahkan sama sekali oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sambil mengakui belum masa sesuai untuk bercakap mengenai keinginan atau visi saya, Tunku Ismail berkata, beliau akan berkongsi dengan rakyat tidak lama lagi.

“Tidak ada gunanya memberitahu orang sekarang, dan kemudian saya yang rugi kerana saya tahu banyak negeri yang akan menyokong Tan Sri Annuar Musa dengan arahan Menteri Belia dan Sukan.

“Walaubagaimanapun, saya seorang yang suka mengambil tindakan kerana tindakan adalah lebih berkesan daripada sekadar berkata-kata,” katanya.

Kembali seperti asal

Pada 14 Februari lalu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata dirinya mengambil sikap berkecuali berhubung individu yang layak menerajui kepimpinan baru FAM sebagai presiden.

Katanya beliau akan bekerjasama dengan siapa sahaja yang dipilih sama ada Tunku Ismail mahupun Annuar sebagaimana peneraju kepimpinan badan sukan lain.

Mengulas lanjut, pemilik kelab bolasepak JDT itu berkata, beliau akan melaksanakan apa sahaja yang boleh untuk mempertingkatkan FAM.

“Seperti yang saya katakan bahawa anda tidak boleh menyeberangi laut hanya dengan berdiri di tepian dan merenung air.

“Anda perlu merenanginya. Biar saya beritahu anda perkara ini, kegagalan tidak akan pernah mengatasi kita kerana keninginan kita untuk berjaya adalah sangat kuat,” katanya.

Menurut Tunku Ismail keputusannya menawarkan diri adalah kerana rakyat yang mahukannya memperbaiki beberapa perkara.

“Selain dari itu, Ayahanda saya juga mahu saya terima amanah dan mengambil kesempatan ini untuk membuat perubahan.

“Inilah satu-satunya sebab mengapa saya ingin melakukannya. Saya tidak membuat keputusan untuk melakukannya kerana saya mahu, tetapi kerana takut apa akan berlaku dalam bola sepak jika ia jatuh ke tangan orang yang salah.

“Jika itu berlaku, kita semua akan kembali semula seperti asal. Untuk mengubah dan merombak FAM, inilah peluang kita. Inilah peluang kita untuk mengubah buat selama-lamanya,” katanya.

 

Lihat Komen