malaysiakini logo
story-image
ADS

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim disahkan akan bertanding jawatan presiden FAM pada Kongres ke-53, 25 Mac depan.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, sebentar tadi.‎

Menurut Hamidin, Tunku Ismail telah mengesahkan menerima pencalonan beliau melalui pertemuan mereka beberapa hari lalu.

"Untuk calon presiden sehingga tarikh tutup jam 5 petang ini FAM terima (pengesahan) dua pencalonan, pertama Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kedua Tan Sri Annuar Musa.

"Bagi calon-calon jawatan lain kita akan siarkan selepas mesyuarat exco FAM pada 20 Februari nanti," katanya.

 

Annuar menjadi calon pertama yang mengesahkan penerimaan pencalonannya kepada FAM pada 6 Februari lalu.

Turut dicalonkan ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas setiausaha Kementerian‎ Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat.

Hamidin berkata, nama-nama calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada kongres kali ini dilihat bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik.

"Pandangan saya dengan adanya calon-calon menawarkan diri menunjukkan masih ramai pemimpin berminat untuk bawa bola sepak ke arah lebih tinggi.

"Saya rasakan calon-calon bersedia untuk tawar perkhidmatan terbaik seperti peminat mahukan, perubahan bola sepak kembali menyinar," katanya.

Sementara itu, bagi calon timbalan presiden katanya seramai empat calon daripada lapan orang mengesahkan diri untuk bertanding‎.

"Bagi naib presiden sembilan daripada 21 calon menerima pencalonan, 17 daripada 30 calon melibatkan jawatan exco FAM dan tujuh calon bagi exco wanita," jelasnya.

Lihat Komen