malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Langkah skuad Harimau Selatan beraksi di negara beriklim sejuk nampaknya tidak menjadi apabila tewas kepada wakil Jepun, Gamba Osaka, sebentar tadi.

Pada aksi penentuan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) 2017 itu, perjuangan JDT berakhir di Stadium Suita City, Osaka, selepas dibelasah dengan jaringan 3-0.

Prestasi bola sepak negara ternyata masih tidak setanding prestasi bola sepak Jepun‎ jika cabaran dihadapi anak buah Benjamin Mora itu dijadikan ukuran.

Dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, Gamba Osaka nampak lebih bersedia dari aspek mental, fizikal dan taktikal.

Awal 45 minit pertama, pasukan tuan rumah begitu teliti mengatur rentak permainan mereka, manakala JDT tampil berwaspada.

ADS

Anak didik Henta Hasegawa dilihat tidak gelojoh melakukan serangan, sebaliknya mereka bijak menjinakkan lawan melalui hantaran-hantaran pendek.

Beraksi di hadapan lebih 30,000 penyokong sendiri, Gamba Osaka dilihat mudah untuk menguasai permainan walaupun cuba diberi saingan sengit skuad JDT.

Pemain sayap JDT, S Kunalan tampil menguji penjaga gol lawan seawal minit kesembilan. Namun, rembatan dari luar kotak penalti itu berjaya didakap kemas Masaaki Higashiguchi.

Justeru itu, tuan rumah tampil menggandakan asakan dengan menguasai bola di kawasan kotak penalti JDT.

Usaha mereka menjinakkan benteng pertahanan pasukan pelawat. Hasilnya, tandukan Ademilson yang tidak dikawal ketat berjaya menyambut hantaran silang rakan sepasukan menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-26.

Pantas, energi dan berstamina

Tersentak dengan jaringan sulung Gamba Osaka, Harimau Selatan cuba bangkit memberi saingan lebih sengit.

Berpunca daripada sepak mula dari tengah padang, JDT melakukan serangan balas pantas menyaksikan gerakan solo Azamuddin Akil cuba memperdayakan pemain pertahanan lawan.

Sayangnya, Higashiguchi yang dibantu seorang lain pemain pertahanan berjaya menghalang kemaraan penyerang itu.

Malah, sejurus selepas itu kelab terkemuka Liga Jepun itu membuat serangan balas pantas menyaksikan gol kedua mereka melalui Shun Nagasawa untuk kedudukan 2-0 separuh masa pertama.

Kembali dari bilik persalinan untuk 45 minit kedua, JDT tetap sukar untuk menyaingi rentak dan percaturan Gamba Osaka di samping dilihat lebih pantas dan berenergi .

ADS

Mora dilihat sedikit sebanyak meminta barisannya lebih bertahan di samping melakukan serangan balas pantas.

Tetapi Gamba Osaka mudah membaca gerakan-gerakan JDT dan mereka bijak merampas bola di kaki pemain JDT untuk terus menguasai serangan.

Genta Miura tampil menjadi penjaring ketiga tuan rumah pada minit ke-69 sekali lagi menewaskan Farizal melalui tandukan hasil umpanan silang rakan sepasukan.

Keputusan itu sekali gus melayakkan mereka ke saingan peringkat kumpulan ACL 2017, manakala JDT tetap boleh dibanggakan sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang berjaya ke tahap itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen