Menjelang perlawanan penentuan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL), pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan pemain Harimau Selatan supaya tidak tertekan.
Bakal berdepan Gamba Osaka esok, Tunku Ismail berkata, kelab dari Jepun itu sememangnya mempunyai pemain yang handal.
"Mereka memang pemain yang handal, pasukan yang besar, tetapi mereka adalah manusia yang boleh rasa sakit dan penat seperti kita juga.
"Mereka bukannya robot. Nikmati perlawanan ini. Tiada apa yang perlu dirisaukan atau ingin dibuktikan.
“Apa yang penting adalah sikap positif untuk memberikan saingan sengit dan keinginan anda untuk mencipta sejarah selepas sejarah yang telah diciptakan," katanya.
Kenyataan Tunku Mahkota Johor disampaikan melalui sidang video kepada anak buah Benjamin Mora dari Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru seperti disiarkan di Facebook rasmi JDT.
Jepun pernah cipta sejarah di Johor
Terdahulu mereka menyingkirkan kelab Thailand, Bangkok United pada 31 Januari lalu dengan keputusan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti.
Kata Tunku Ismail, Johor adalah tempat di mana pasukan Jepun pernah mencipta sejarah layak ke Piala Dunia pada tahun 1997.
"Jadi tidak mustahil kali ini di Jepun adalah tempat JDT mencipta sejarah pula untuk melayakkan diri ke saingan ACL 2017. Pintu peluang itu sentiasa ada. Kita hanya perlu berusaha sahaja.
"Jika berjaya, alhamdulillah. Sejarah tercipta sekali lagi. Jika tidak berjaya tidak mengapa. Kita boleh cuba lagi hingga kita layak ke ACL.
"Jadi, ucapkan syabas kepada rakan-rakan sebelah anda kerana telah mencapai ke tahap ini yang mana pemain lain tidak pernah capai. Tahniah saya ucapkan," katanya.
"Anda perlu tahu kami di kelab termasuk para penyokong berasa bangga dengan pencapaian pasukan dan para pemain kerana berjaya mencipta sejarah berada di ACL playoff yang mana pasukan atau pemain lain dalam negara ini tidak dapat pernah berada.
"Peluang bermain di tahap ini bukan hadir setiap hari," tambah Tunku Ismail.