malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Malaysia Dragons 'hidup' kembali belasah Saigon Heat
ADS

Bagaikan 'hidup' kembali selepas dibelenggu empat kekalahan berturut-turut, Westport Malaysia Dragons akhirnya memadam sumpahan itu dengan kemenangan di gelanggang sendiri.

Dragons mengalahkan Saigon Heat dengan kelebihan 15 mata - iaitu 82-67, di House of Champions, Gem In Mall Cyberjaya Jumaat lalu.

Kemenangan itu juga merupakan yang pertama untuk Dragons di gelanggang sendiri sejak tahun ini.

"Tak mungkin kami menang kalau tidak mampu untuk membuat jaringan, bukan? Kali ini, pemain tempatan memberi sumbangan yang cukup besar untuk pasukan.

"Kita perlukan mereka beraksi seperti ini dan sekiranya kita teruskan momentum ini, Dragons akan menjadi sebuah pasukan yang sukar ditandingi," kata ketua jurulatih, Christopher Thomas kepada wartawan selepas perlawanan.

Pemain tempatan Dragons berjaya menyumbang 42 mata dalam perlawanan kali ini dan ia antara yang terbaik sejak musim baru ABL bermula.

Sungguhpun prestasi Dragons sukar diduga dan perlawanan minggu lalu yang agak mengecewakan, aksi Marcus Melvin yang menyumbangkan 21 mata pada perlawanan Jumaat lalu dilihat antara faktor utama kejayaan Malaysia.

"Setaip pemain memberikan yang terbaik semasa . Tiada tekanan untuk saya, ini adalah adat permainan. Ada kalanya kita menang dan kalah.

"Ada perlawanan yang kita patut menang, kami tidak kesampaian. Itulah yang kami perlu usahakan. Minggu ini, selepas apa yang berlaku di Hong Kong, kami kembali kepada pelan asal dan berlatih bersungguh-sungguh," kata Melvin kepada Malaysiakini.

Serangan bertubi-tubi tak mampu ditangani

Pada permulaan perlawanan, ketua pasukan Dragons, Ma Chee Khuen, mulakan serangan awal dengan jaringan lima mata seawal dua minit perlawanan dimulakan.

Heat pula bermula dengan ritma yang perlahan. Justeru Dragons mengambil peluang itu untuk jarakkan penguasaan pada suku pertama.

Sebelum time out pada minit kelima, Marcus Melvin membuat jaringan tiga mata untuk Dragons menjadikan kedudukan 10-4.

Walaupun ketua jurulatih Malaysia kelihatan agak resah, namun cara pneggunaan barisan pemain Dragons dalam gelanggang nampak lebih baik.

Pada dua minit terakhir suku pertama, empat pemain tempatan Ivan Yeo, Wong Yi Hou, Teo Kok Hou dan Loh Shee Fai dalam gelanggang, Dragons mengakhir babak itu dengan lebihan enam mata (20-14) selepas Wong Yi Hou membenamkan jaringan tiga mata.

Selang lima minit pertama dalam suku kedua, Heat yang tidak mudah mengalah kembali merebut penguasaan dengan jaringan 9-4. Jaringan David Arnold pada minit kelima meletakkan Heat di hadapan dengan satu mata (24-25).

Serangan demi serangan dilancarkan Heat namun ia tidak dapat mematahkan semangat Dragons untuk menguasai gelanggang. Marcus Melvin pantas menyamakan kedudukan menjadi 28-28 pada minit keempat terakhir suku kedua dengan 'lay-up'.

Dragons seolah-olah 'hidup semula'. Dengan tiada jaringan, Marcus Melvin sekali lagi membenam Heat dengan jaringan tiga mata.

Dalam percubaan sebelum wisel menamatkan suku kedua, hantaran Loh Shee Fai kepada Ting Chun Hong untuk jaringan tidak kesampaian.

Separuh masa pertama tamat dengan Dragons kembali di hadapan dengan kelebihan enam mata pada kedudukan 36-30.

Sungguhpun peratus jaringan Dragons adalah 31 peratus berbanding Heat 28 peratus, tidak nampak lagi mana-mana pasukan yang menguasai gelanggang.

Suku ketiga merupakan bahagian yang paling menarik dalam gelanggang apabila Dragons jauh meninggalkan Heat hampir 20 mata.

Dragons menjaringkan 32 mata dalam suku ini, memberikan penguasaan gelanggang yang tidak mampu ditangani Heat.

Para pemain tempatan seperti Yi Hou, Kok Hou, Chun Hong dan Ivan Yeo pantas mengambil peluang ketika jurulatih Thomas mengubah strategi menggunakan empat pemain lokal dalam gelanggang.

Walaupun pemain import Heat, Lenny Daniels dan Joshua Munzon, yang mengutip 27 mata, gabungan pemain tempatan Dragons membuktikan kebolehan dan potensi lokal yang dapat menandingi pemain import juga.

Malaysia Dragons akan bertemu pasukan dari Taiwan, Kaohsiung Truth pada 25 Januari ini di Gem In Mall, Cyberjaya sebelum berehat sempena minggu bercuti sambutan Tahun Baru Cina.

Lihat Komen