Pengiklanan

    Annuar Musa: Dokumen buktikan tajaan Kelantan telus

    (Dikemaskini )

    Berbanding semalam, nada bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas isu penajaan pasukan The Red Warriors (TRW) sedikit berbeza hari ini.

    Beliau yang juga ketua penerangan Umno berkata demikian setelah “difahamkan” terdapat surat menyurat, baucar dan lain-lain dokumen antara The Red Warrior Sdn Bhd dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

    “Bagi saya, kita ucapkan terima kasih atas edaran itu kerana ia menunjukkan kedua-dua pihak lakukan dengan begitu teratur. Ada surat tawaran, ada rundingan dan tawar menawar, ada kontrak, ada baucar, ada resit dan lain-lain.

    “Saya percaya bukan dengan UniKL sahaja tapi semua penaja lain. Semuanya di buat secara tertib dan berperaturan,” katanya.

    Pemilik kelab bola sepak JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam mendakwa Pelaburan MARA Berhad dan UniKL dipaksa menaja pasukan Kelantan.

    Katanya, sewaktu ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan di sana sini, Annuar masih tergamak menggunakan duit rakyat.

    Tunku Mahkota Johor mendakwa UniKL turut menjadi mangsa apabila terpaksa mengurangkan biasiswa pelajarnya sebanyak RM700 juta tahun lepas.

    Tunku Ismail turut mendedahkan beberapa dokumen berkaitan penyaluran wang tajaan MARA dan UniKL kepada pasukan Kelantan, termasuk baucar pembayaran, slip deposit cek dan surat menyurat berkaitan.

    Menulis di Facebook, Annuar berkata kini terbukti penyertaan UniKL dalam tajaan atau pakej komersial TRW dibuat secara terbuka, diisytihar dan diumumkan kepada orang ramai.

    “Tiada penajaan secara senyap. Nama UniKL terpampang di jersi seperti dalam kontrak,” katanya.

    Pada masa yang sama beliau mendakwa banyak pasukan yang mengutip duit dari pelbagai sumber tetapi segalanya tersembunyi.

    “Ada tajaan/sumbangan kepada pasukan negeri, ada kepada pasukan kelab, malah ada kepada pasukan milik individu,” dakwanya tanpa menyebut pihak itu secara khusus.

    “Itu biarlah ikut cara masing-masing. Saya bangga TRW sebagai pasukan bola sepak negeri dan mempunyai cara tajaan yang teratur, berdokumen dan telus.”

    Sebelum itu, beliau menjelaskan tulisan beliau sebelum itu dibuat tanpa mendapat gambaran penuh kerana berada di tempat yang tiada kemudahan Internet.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih