malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
2016 tahun hangat, cemerlang sukan Malaysia
Diterbitkan:  Dec 31, 2016 3:02 PM
Dikemaskini: 7:12 AM
ADS

Tahun 2016 adalah tahun kedua Malaysiakini turut memeriahkan berita-berita sukan tanah air yang penuh dengan warna-warni tersendiri.

Seperti isu-isu lain, industri sukan negara sepanjang tahun ini boleh anggap sebagai terhangat dan paling gemilang dalam sejarah Malaysia khususnya kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa.

Sebelum 2016 melabuhkan tirainya, Malaysiakini Sukan mengimbau kembali detik-detik manis dan topik-topik hangat yang menghiasi perkembangan bidang sukan negara.

1) Olimpik Rio

Temasya yang berlangsung di Rio de Jeneiro, Brazil ini mencipta kejayaan indah buat negara dengan pencapaian terbaik sepanjang sejarah penyertaan di Olimpik.

Kontinjen negara berjaya meraih empat pingat perak dan satu gangsa masing-masing melalui acara perseorangan badminton lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran, acara terjun dan berbasikal.

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei membanggakan rakyat Malaysia dengan meraih pingat perak selepas tewas kepada jaguh China, Chen Long dalam saingan akhir perseorangan lelaki.

Chong Wei tampil cemerlang apabila berjaya menewaskan seteru ketatnya juga dari China iaitu Lin Dan di peringkat separuh akhir sebelum akur untuk meraih pingat perak.

Pasangan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong pula berentap di saingan akhir menentang beregu China Fu Haifeng dan Zhang Nan untuk meraih pingat perak untuk Malaysia.

Kategori beregu campuran pula, gandingan Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon mengesahkan tempat kedua milik mereka selepas akur di tangan wakil Indonesia.

Temasya yang berlangsung dari 5 hingga 21 Ogos itu juga memberi tuah buat Malaysia dalam sukan terjun yang mengutip pingat perak melalui Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong melalui acara 10 meter platform seirama wanita.

Sementara itu, medal gangsa tunggal berjaya dibawa pulang oleh atlet berbasikal negara Azizulhasni Awang dalam acara keirin.

2) Paralimpik Rio

Luar biasa! dua perkataan itu digambarkan sinomin dengan kejayaan cemerlang atlet paralimpik negara di pentas antarabangsa.

Jika di temasya Olimpik Malaysia meraih perak, di arena Paralimpik Rio kontinjen negara berjaya meraih tiga kilauan pingat emas sekali gus mencatat sejarah ulung bagi sukan golongan orang kelainan upaya (OKU) Malaysia.

Pingat emas pertama dimenangi atlet pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36, disusuli emas kedua menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20, yang turut mencipta rekod dunia dengan balingan sejauh 16.84 meter.

Pingat emas ketiga diraih Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh ?T20 yang turut mencatat rekod baharu dunia dengan lompatan 7.60m, manakala gangsa diraih Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20 dengan memperbaharui rekod Sukan Para Asia dengan jarak 5.20m.?

Tiga emas dan satu perak yang kebanggaan Malaysia!

Susulan kejayaan itu, ketiga-tiga pemenang pingat emas negara menerima ganjaran RM1 juta daripada kerajaan di samping pelbagai habuan lain mengiringi pencapaian mereka.

3) Dakwaan rasuah FAM

Tampil dengan sebuah pendrive, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengejutkan peminat bola sepak tempatan dengan dakwaan memiliki maklumat berkaitan aktiviti rasuah bola sepak dan FAM.

Tunku Mahkota Johor itu mendakwa berlaku amalan rasuah berpanjangan dalam FAM, sehingga 30 tahun.

Susulan itu beliau menyerahkan pendrive yang didakwa terkandung maklumat aktiviti bola sepak itu kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang akhirnya diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, pengakhiran kisah pendrive dilihat 'antiklimaks' selepas SPRM mendedahkan tiada sebarang bukti berkait dengan rasuah terkandung dalam dokumen tersebut.

4) Krisis kepimpinan FAM

Badan induk bola sepak negara menerima tamparan besar selepas muncul desakan dari pelbagai pihak supaya presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan.

FAM dituntut supaya dibuat rombakan besar-besaran dengan penstrukturan semula barisan kepimpinan selepas dilihat gagal membawa kemajuan sukan nombor satu dunia itu.

Saranan supaya Tengku Abdullah melepaskan jawatannya bertitik tolak daripada kritikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan saranan agar presiden FAM tidak datang daripada golongan keluarga diraja dan juga mempunyai pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab-kelab yang mengambil bahagian.

Rentetan itu, Tengku Abdullah mengambil pendirian untuk mengundurkan diri daripada jawatan tersebut bagi memberi laluan kepada tokoh baru menjadi nahkoda FAM.

Sehubungan itu FAM memutuskan supaya pemilihan penggal baharu jawatankuasa eksekutif diawalkan dari 2018 ke tahun depan.

5) Penajaan bola sepak

Perjalanan industri bola sepak tempatan tiba-tiba digemparkan dengan kesudian seorang jutawan kosmetik untuk menjadi penaja utama pasukan bola sepak Kelantan.

Melalui syarikatnya Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman menarik perhatian umum selepas muncul sebagai usahawan kosmetik pertama memilih untuk menaja pasukan bola sepak.

Kontrak penajaan selama dua musim bernilai RM16 juta ditandatangani bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di samping pelbagai syarat diletakkan. Antaranya seperti stadium perlu dicat dengan warna merah jambu dan pemain wajib menjadi duta produk.

Dengan keghairahan tersendiri, usahawan yang popular dengan panggilan Vida itu bagaimanapun hanya bertahan sehinggan musim liga Malaysia berakhir 2016.

Dia memilih untuk menarik diri daripada penajaan tersebut secara tidak langsung mengheret Kafa dalam krisis kewangan kritikal menghadapi musim depan.

Skuad Kelantan kini diputuskan menarik diri dari saingan liga Malaysia 2017 gara-gara ketiadaan penaja utama.

Selain Vida Beauty, beberapa syarikat kosmetik lain turut cuba mengambil langkah untuk menjadi penaja pasukan bola sepak.

Namun, cubaan D'Herbs (M) Holding menaja pasukan Kedah tidak berjaya selepas gagal emncapai kata sepakat, manakala syarikat megah Perwan Sdn Bhd juga gagal untuk menaja skuad PKNS FC.

6) Faiz Subri

Ketika tiada harapan besar boleh diletakkan pada bola sepak Malaysia, seorang pemuda kelahiran Ayer Hitam hadir memberi kegembiraan kepada peminat bola sepak khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Faiz Subri mencipta sejarah hebat buat sukan bola sepak tanah air melalui sepakan 'ajaib' yang dicalonkan sebagai 10 calon ke Anugerah Puskas Fifa 2016.

Selepas saringan undian awal, pemain tengah Pulau Pinang itu berjaya mengenepikan enam calon lain termasuk bintang dunia seperti Lionel Messi dan Neymar untuk layak ke peringkat akhir bersama dua calon lain.

Sepakan Faiz menjadi fenomena luar biasa sehingga mendapat tempat di hati peminat bola sepak dunia. Malah, video sepakannya yang dimuat naik di laman You tube FifaTV mencecah tontonan lebih dua juta dalam tempoh kira-kira sebulan.

Pada 9 Januari depan, nasib Faiz akan ditentukan sama ada berjaya atau tidak untuk merangkul gelaran Puskas Fifa 2016 melalui jaringan yang dicipta ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang dalam aksi Liga Super 16 Februari lalu.

Jika anda mahu mencipta sejarah bersama Faiz, teruskan membuat undian sebanyak mungkin sebelum proses undian ditutup pada 9 Januari nanti. [Klik untuk mengundi]

Selamat datang 2017!

Lihat Komen