Sebuah kereta Mini Cooper menanti pemain yang membuat pukulan hole-in-one dalam Kejohanan Negeri Sembilan Golf Challenge 2016 anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) pada 17 dan 18 Dis ini.
Pengurus Besar LPNS Baharudin Jali berkata kejohanan itu akan diadakan di tiga lokasi iaitu Staffield Golf & Country Club (SGCC), Seremban International Golf Club (SIGC) dan Port Dickson Golf & Country Club (PDGCC).
"Selepas pusingan kelayakan pada 17 Dis, 30 pemain terbaik akan dipilih untuk beraksi pada pusingan akhir di PDGCC 18 Dis nanti," katanya di Seremban, hari ini.
Katanya selain Mini Cooper, kejohanan yang diadakan bagi mempromosikan pelancongan golf di Negeri Sembilan itu turut menawarkan pelbagai hadiah menarik serta cabutan bertuah kepada pemenang.
Baharudin berkata yuran penyertaan bagi kejohanan ini ialah RM300 bagi setiap peserta dan perlu berdaftar sebelum 7 Dis ini.
Mereka yang berminat boleh terus menghubungi kelab terlibat iaitu SGCC di talian 03-87666117; SIGC (06-6775277) dan PDGCC (06-6473586), selain melayari laman web LPNS.
- Bernama

