malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Berakhir sudah cabaran skuad bola sepak negara di pentas Piala Suzuki AFF apabila tewas 0-1 berdepan Myanmar, sebentar tadi.

Keputusan di Stadium Thuwanna, Yangon itu sekali gus berpihak kepada pasukan tuan rumah untuk ke slot separuh akhir dengan kelebihan jaringan gol.

Walaupun hanya memerlukan keputusan seri, pasukan tuan rumah berjaya menumpaskan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat pada minit-minit akhir perlawanan.

Sasaran skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee untuk mara ke separuh akhir tersasar nampaknya.

Keputusan itu menyaksikan Myanmar mengiringi Vietnam ke separuh akhir mewakili kumpulan B. 

ADS

Tampil baik di awal separuh masa pertama, sayangnya prestasi Harimau Malaysia tidak konsisten.

Ada amaran awal ditunjukkan melalui percubaan dari luar kotak penalti Ahmad Hazwan Bakri, namun sepakannya terkena tiang pada minit keenam.

Lima minit berselang skuad negara dicemaskan dengan hadiah sepakan penalti diberikan pengadil kepada skuad The White Angels.

ADS

Berpunca kekasaran Ahmad Hazwan terhadap pemain lawan di minit ke-11, bagaimanapun sepakan diambil Aung Thu berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.

Detik itu seperti menggambarkan nasib baik akan berpihak kepada Malaysia malam ini, penyelamatan dilakukan penjaga gol dikenali sebagai Apek itu satu pencetus semangat juang kepada rakan-rakannya.

Namun, selepas tempoh 20 minit perlawanan, serangan Malaysia mengendur dan dominasi permainan berpihak kepada Myanmar.

Harapan lenyap

Anak buah Gerd Zeise nampak kemas mengatur serangan, hantaran pendek dan bijak membuka ruang dalam menguji ketahanan benteng pertahanan Malaysia.

Di pihak Malaysia, kredit harus diberikan barisan pertahanan Harimau Malaysia khsusunya Khairul Fahim yang banyak melakukan aksi penyelamatan dengan setiap percubaan lawan untuk keputusan 0-0 di separuh masa pertama.

Sementara itu, Myanmar meneruskan penguasaan mereka sebaik sepak mula 45 minit kedua. Walaupun hanya perlukan keputusan seri, Myanmar kelihatan begitu laparkan jaringan.

Jarang dapat dilihat pemain tuan rumah kehilangan bola dengan mudah, sebaliknya keadaan itu sering berlaku di kem Malaysia.

ADS

Nampak sukar untuk pemain Malaysia mengatur gerakan dengan lebih cermat.

Percaturan anak buah Kim Swee nampak terbatas dan banyak berakhir dengan hantaran jauh menyebabkan kehilangan bola.

Kemasukan Safee Sali dan Darren Lok di penghujung masa permainan juga tidak banyak menghasilkan peluang untuk Malaysia mencipta jaringan.

Sehinggalah Davin Htan tampil menjadi hero Myanmar dan melenyapkan harapan Malaysia untuk gol tunggal perlawanan di minit ke-89.

Satu kemenangan dan dua kekalahan direkodkan pasukan negara untuk berada di kedudukan ketiga saingan Kumpulan B. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen