malaysiakini logo
ADS
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Antara keringat Harimau Malaysia, air mata Rohingya
ADS

Sejauh mana langkah skuad Harimau Malaysia dalam saingan Piala Suzuki AFF akan ditentukan dengan lebih jelas apabila mereka berdepan dengan pasukan tuan rumah, Myanmar, di Stadium Thuwanna, Yangon malam ini.

Ketika umat Islam dunia - termasuk di Malaysia - begitu risau dan sakit hati melihat ada sekumpulan manusia menzalimi satu masyarakat lain kerana identiti mereka, Harimau Malaysia menghadirkan debaran kepada kita beberapa jam saja lagi.

Kata-kata klise seperti "tiada yang mustahil", "masih ada peluang", "bola itu bulat" dan "buat yang terbaik" adalah mantera yang agak mujarab untuk menaikkan harapan para peminat.

Keringat barisan anak buah Datuk Ong Kim Swee akan menitis laju di bumi Yangon pada ketika air mata orang Rohingya menitis di Rakhine.

Ia turut dikongsi masyarakat prihatin di negara ini semalam.

ADS

Ketika kabinet memutuskan tidak menarik diri dan memboikot kejohanan di negara Aung San Suu Kyi itu sudah dibuat anak buah Kim Swee sudah dipercaturkan untuk terus menggalas cabaran negara.

Bola sepak adalah sukan yang membawa semangat tersendiri, dan bebas daripada pengaruh politik secara langsung - walaupun hakikatnya di negara ini orang politik jugalah yang menjadi ketua pertubuhan-pertubuhan sukan.

Nampaknya gerakan ala penghapusan etnik oleh rejim Myanmar ke atas Rohingya belum cukup untuk negara Islam bernama Malaysia mengambil sikap tegas menyatakan bangkangan kepada kerajaan disokong Suu Kyi si pemenang anugerah keamanan Nobel itu.

ADS

Justeru, dalam keadaan begitu perjuangan Harimau Malaysia perlu diteruskan dan besarlah harapan kita untuk melihat pasukan Myanmar tewas.

Selain atas semangat kesukanan, sentimen dan emosi juga tentulah muncul. Myanmar - itu musuh Harimau Malaysia di atas padang. Myanmar itu jugalah yang menggunakan peluru dan kekuatan tenteranya menzalimi etnik Rohingya yang tidak mereka iktiraf sebagai warganegara.

Ia dibuat atas semangat nasionalis kebangsaan. Ia digerakkan dengan mengapi-apikan rasa keangkuhan dan kesombongan kaum Bamar.

Kekalahan Myanmar itu - jika menjadi kenyataan - sedikit sebanyak pasti memberi kelegaan dan kepuasan.

Secara umum, sepanjang kempen Piala Suzuki AFF prestasi Malaysia dan Myamar boleh dikatakan agak seimbang.

Masing-masing mengutip tiga mata dengan satu kemenangan dan satu kekalahan pada dua perlawanan terdahulu.

Kali ini, misi terakhir dilancarkan dan menjadi penentu kepada langkah seterusnya atau hanya terhenti setakat ini sahaja.

Berdasarkan pertemuan pertama berdepan Kemboja Isnin lalu skuad kebangsaan Malaysia menerima pujian walaupun perlawanan itu dihiasi dengan aksi cemerkap sangat ketara pertahanan negara.

ADS

Semangat juang dan tempo melawan yang tinggi ditunjukkan jentera Malaysia jelas kelihatan.

Tundukkan Myanmar

Pun begitu, sebagai penyokong kita tetap perlu memberi keyakinan penuh kepada pahlawan-pahlawan negara. Mereka sedar tanggungjawab untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

Dan di kaki mereka jugalah nasib 'kegembiraan' penyokong dan rakyat Malaysia tergantung. Tidak perlu kita terlalu kecewa sesudah mereka "melawan tetapi tewas".

Sebaliknya juga, penghargaan dan kebanggaan besar wajib diberikan ketika pejuangan anak didik Kim Swee meraih kejayaan.

Jika edisi 2014, Malaysia muncul sebagai naib juara, tahun ini sasaran awal untuk mara ke separuh akhir diletakkan FAM mungkin selepas melihat secara realitik prestasi bola sepak negara ketika ini.

Sementara itu, ketika tewas tipis 0-1 bertemu Vietnam pada aksi kedua sedikit sebanyak melunturkan semangat dan keyakinan Harimau Malaysia.

Namun, ada suntikan moral baru dilihat menjadi sebab untuk mereka kembali bersemangat dan beraksi dengan lebih meyakinkan selepas pengumuman ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Malaysia kini berada pada kedudukan 156 dunia berbanding ranking sebelum ini di tangga ke-164.

Di atas kertas kita berada pada kedudukan lebih baik berbanding Myanmar di ranking 166.

Jika kenaikan ranking menggambarkan kehebatan sesuatu pasukan, maka secara langsung skuad bola sepak negara perlu buktikan mereka benar-benar lebih baik daripada pasukan lawan itu.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen