Langit tak lagi cerah di Yangon. Harimau Malaysia gagal membaham mangsanya apabila tersungkur 0-1 kepada Vietnam dalam perlawanan kedua Piala Suzuki AFF sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Stadium Thuwunna itu, negara memang mengharapkan kemenangan namun perlawanan nampaknya tidak terlalu menghampakan kerana mungkin kedua-dua pasukan bakal seri.
Namun harapan tidak kesampaian apabila Nguyen Trong Hoang meletakkan pasukannya di depan hanya kira-kira 10 minit sebelum perlawanan tamat.
Lebih pedih pasukan The Golden Stars itu menjinakkan Harimau Malaysia susulan kesilapan mudah pertahanan Malaysia.
Gol yang berpunca daripada keadaan kelam-kabut di depan pintu gol dikawal Khairul Fahmi Che Mat itu berjaya disumbat selepas pemain Malaysia gagal mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti.
Sebelum itu ada tiga atau empat kali pemain pertahanan Malaysia berjaya menyelamatkan keadaan dengan bertindak bijak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Namun pada minit ke-80 kubu itu akhirnya runtuh juga.
Secara keseluruhan kedua-dua pasukan boleh dikatakan seimbang dari aspek taktikal namun penguasaan bola lebih berpihak kepada pasukan Vietnam.
Sebaik wisel sepak mula ditiup skuad The Golden Stars menunjukkan dominasi dengan percaturan agak berhati-hati, manakala Harimau Malaysia lebih defensif.
Vietnam tampil dengan siri hantaran pendek dengan mengambil peluang atas banyaknya ruang dibuka barisan pemain negara.
Taktikal itu sekali gus membolehkan Vietnam melakukan percaturan yang pelbagai.
Dibayangi kelemahan biasa
Anak buah Nguyen Huu Thang juga menggunakan setiap posisi untuk melancarkan serangan walaupun dicabar sengit skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
Tiada aksi terlalu menarik diperhatikan sepanjang 30 minit permainan separuh masa pertama berlangsung, sehinggalah detik mencemaskan berlaku di gawang Malaysia.
Pada minit ke-40 Ronny Harun muncul sebagai wira Harimau Malaysia dengan kemampuannya menyekat larian solo penyerang lawan yang hampir menewaskan Khairul Fahmi.
Selang seminit, giliran jenteran Malaysia melalui Amri Yahyah melalui percubaan ke gawang lawan, namun sayangnya bola tidak menemui sasaran malah melewati pintu gol.
Selain itu, kelibat Ahmad Hazwan Bakri turut membuka peluang Malaysia dengan rembatan kencang dari luar petak penalti dan berjaya ditangkas kemas penjaga gol Vietnam sebelum wisel rehat ditiupkan pengadil.
Kembali dari bilik persalinan, Trong Hoang menjadi watak penting pasukan lawan selepas hampir menewaskan Khairul Fahmi pada awal aksi 45 minit kedua.
Namun, rembatan leretnya sedikit tersasar dari sisi kanan tiang gol Malaysia dan mereka tampil dengan tempo lebih rancak yang banyak melakukan serangan pantas.
Di pihak Malaysia pula, tahap momentum serangan masih tidak konsisten dan kelemahan-kelemahan biasa masih membayangi permainan di samping kurang idea untuk melahirkan peluang menarik.
Keadaan itu memaksa banyak percubaan jauh dilakukan, antaranya percubaan cantik Mohd Syazwan Zainol pada minit ke-52 selepas menerima umpanan dari penjurung kanan gawang Vietnam.
Susulan kekalahan hari ini, Malaysia kekal dengan pungutan tiga mata untuk berada di kedudukan kedua kumpulan B sementara menanti keputusan perlawanan antara tuan rumah Myanmar dan Kemboja, malam ini.
Bagaimanapun, peluang untuk layak ke aksi separuh akhir masih terbuka dan Malaysia perlu bekerja keras pada perlawanan ketiga menentang Myanmar, Sabtu ini.