malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Shalin, Siti Safiyah raih pingat emas beregu wanita
Diterbitkan:  Nov 23, 2016 7:14 AM
Dikemaskini: Nov 23, 2016 4:08 AM
ADS

SUKAN Gandingan pemain berpengalaman, Shalin Zulkifli dan Siti Safiyah Amirah, meraih pingat emas dalam acara beregu wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Komanwel ke-7 yang berlangsung di Northcliff Bowl, Johannesburg, Afrika Selatan semalam.

Mereka mengumpul 2,606 jatuhan pin untuk memintas pendahulu saingan iaitu gandingan dari Australia, Dena Buxton dan Bec Whiting, dalam 'game' terakhir.

Dena dan Bec terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas ketinggalan 59 pin pada 'game' keenam dengan mengumpul 2,547 mata.

Pingat perak menjadi milik gandingan dari Malta, Sue Abela dan Tiziana Carannante yang mengumpul 2,552 jatuhan pin.

Dalam saingan perseorangan kelmarin, Shalin dan Siti Safiyah gagal meraih pingat dengan Siti Safiyah sekadar berada di kedudukan keempat manakala Shalin di tempat kelapan.

Kelmarin, Muhammad Nur Aiman Khairuddin dan Timmy Tan menghadiahkan pingat emas dan perak melalui acara perseorangan lelaki.

Hari ini, mereka akan meneruskan saingan di Northcliff Bowl dalam acara beregu campuran pula.

Sementara itu, semalam, selepas bermula dengan baik dan menguasai permainan sejak dari awal namun nasib tidak menyebelahi gandingan Muhammad Nur Aiman dan Timmy untuk menyumbang pingat emas ketiga buat Malaysia.

Mereka terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara beregu lelaki.

Gandingan Muhammad Nur Aiman dan Timmy mendahului peserta-peserta lain sehingga ke 'game' kelima sebelum dipintas gandingan tuan rumah, Quintin Haywood dan Andrew Cyster dengan hanya tiga mata dalam game terakhir.

Mereka mengumpul 2,858 jatuhan pin dan ketinggalan berbanding beregu tuan rumah yang mengumpul 2,861 jatuhan pin untuk pingat emas.

Pingat gangsa menjadi milik beregu England, Sam Rose dan Elliot Crosby dengan 2,581 jatuhan pin.

Sebanyak 11 negara anggota Komanwel mengambil bahagian dalam kejohanan itu dengan setiap negara menghantar empat pemain, masing-masing dua wakil dalam kategori lelaki dan wanita.

Acara yang dipertandingkan adalah perseorangan (lelaki dan wanita), beregu (lelaki dan wanita), beregu campuran dan berpasukan campuran manakala 12 pemain terbaik dalam acara All Events mara ke peringkat Masters.

- Bernama

Lihat Komen