malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Lawan Vietnam, Harimau Malaysia mesti lebih baik
ADS

Skuad Harimau Malaysia perlu bermain dengan lebih baik untuk menewaskan Juara 2008, Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki di Stadium Thuwunna, di Yangon esok.

Dalam sidang media praperlawanan hari ini, Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berkata berhadapan dengan skuad "Golden Star" bukanlah tugas mudah memandangkan pasukan lawan adalah amat tersusun dari segala sudut.

Dalam hal ini, jurulatih kelahiran Melaka itu mengingatkan anak buahnya untuk mengelakkan kesilapan mudah yang memberikan dua gol sebelum bangkit menewaskan Kemboja 3-2, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Ahad lepas.

"Saya percaya perlawanan menentang Vietnam adalah sukar sebagaimana dihadapi semasa berhadapan Kemboja, Ahad lepas ... kami mempunyai pemain yang bebas daripada kecederaan yang menggembirakan saya dan semoga kami akan bermain dengan baik berhadapan Vietnam," katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Pasukan negara Mohd Amri Yahyah menggesa rakan sepasukan terutama barisan pertahanan supaya memberi lebih perhatian terhadap Vietnam yang gemar melakukan serangan bahaya diketuai oleh pemain veteran, Le Cong Vinh yang juga ketua pasukannya.

"Perlawanan esok dijangka menarik kerana kedua-dua pasukan mengutip tiga mata penuh yang sememangnya akan menarik lebih banyak penyokong daripada kedua-dua belah pihak," kata pemain JDT itu.

Ketua Jurulatih Vietnam, Nguyen Huu Thang sebaliknya berkata persaraan empat pemain utama Malaysia dari arena antarabangsa tidak membawa banyak perbezaan tetapi pasukan kali ini mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam edisi tahun ini.

Keempat-empat pemain yang mengumumkan persaraan mereka ialah Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan, Safiq Rahim dan Mohd Amirulhadi Zainal.

Huu Thang juga berkata bermain di dalam cuaca panas sehingga 33 darjah Celcius merupakan cabaran hebat untuk skuadnya tetapi beliau yakin mereka akan segera menyesuaikan diri dengan cuaca sedemikian.

Cong Vinh yang bersependapat dengan Huu Thang menggesa rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan Malaysia kerana beliau pernah berhadapan dengan beberapa pemain Malaysia sebelum ini.

"Saya tahu bermain dengan Malaysia adalah mencabar kerana saya pernah berhadapan dengan mereka beberapa kali sebelum ini tetapi saya berharap kami boleh bermain dengan baik dalam perlawanan ini dan mengutip mata penuh," kata pemain berusia 30 tahun itu yang menjaringkan gol kemenangan Vietnam semasa menewaskan tuan rumah bersama, Myanmar 2-1 dalam perlawanan pembukaan kumpulan B, Ahad lepas.

Berdasarkan kepada 16 perlawanan antara kedua-dua pasukan sejak 1991, Vietnam mepunyai kelebihan dengan memenangi lapan perlawanan, enam kali kalah dan dua kali seri.

Myanmar akan bertemu Kemboja dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B di padang yang sama, esok.

-Bernama

Lihat Komen