malaysiakini logo
story-image
ADS

Skuad Harimau Malaysia berjaya meraih tiga mata menewaskan Kemboja 3-2 dalam siangan pertama kumpulan B Piala Suzuki AFF, di Myanmar sebentar tadi.

Penyerang veteran skuad kebangsaan, Amri Yahyah tampil memastikan kemenangan tipis berpihak anak buah Datuk Ong Kim Swee.

Melalui gol ketiga di minit ke-79, pemain 35 tahun itu menjaring gol kedua peribadinya pada kejohanan tersebut.

Menyarung jersi baru dan turun dengan cabaran cuaca panas memberi tekanan tersendiri buat kedua-dua pasukan.

Amaran awal dilakukan Amri terhadap pasukan lawan pada minit ke-2 menanduk baik bola hantaran Rizal Ghazali, namun berjaya ditampang penjaga gol lawan.

Bagaimanapun, lima minit berselang pemain negara dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan lawan yang berjaya dijaringkan penyerang berbisa Kemboja, Chan Vathanaka.

Sepanjang 45 minit pertama menyaksikan penampilan pemain Malaysia sedikit gugup sekali gus memberi kelebihan penguasaan bola kepada Kemboja yang banya mengatur serangan melalui bahagian kiri.

Anak didik Lee Tae-Hoon tidak terlalu agresif walaupun disuntik momentum kemenangan sejak aksi kelayakan, tetapi mereka bijak mengatur serangan melalui hantaran pendek dan hantaran pantas mengejut.

Skuad negara pula lebih banyak mengatur gerakan melalui ruang tengah dan berjaya mencipta percubaan menguji barisan pertahanan lawan.

Penyokong Malaysia sedikit lega apabila Mohd Syazwan Zainol tampil menyamakan kedudukan di minit ke-37.

Pemain sayap kiri itu bijak memperdayakan dua pertahanan Kemboja sebelum meledak kencang gawang Kemboja selepas menerima umpanan Darren Lok.

Kerja keras

Selepas kekal 1-1 untuk separuh masa pertama, sekembali dari bilik persalinan untuk 45 minit kedua skuad Malaysia hampir meraikan jaringan kedua.

Bagaimanapun, percubaan Mohd Syazwan dinafikan palang gol, manakala Kemboja memperolehi peluang pada minit ke-52 tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat.

Dan tujuh minit kemudian, kealpaan benteng pertahanan Harimau Malaysia sekali lagi meletakkan Kemboja di depan juga melalui Vathanaka di minit ke-59.

Sikap tidak mudah berputus asa dan kerja keras di kalangan pemain negara tergambar melalui persembahan mereka di samping mampu menyerap tekanan. Buktinya, mereka semakin kerap melakukan serangan berbanding pasukan tuan rumah perlawanan.

Amri yang juga kapten pasukan tampil memastikan cabaran aksi sulung mereka dapat diatasi dengan menjaringkan gol penyamaan buat kali kedua Malaysia 10 minit berselang.

Pemain kelab JDT itu juga memastikan Malaysia berjaya mencatat kemenangan pertama dengan gol keduanya pada minit ke-80 dan Kim Swee boleh menarik nafas lega apabila sasaran untuk menyuntik semangat bagi meneruskan saingan itu tercapai.

 

Lihat Komen