malaysiakini logo
story-image
ADS

Jika ditakdirkan untuk Malaysia meraih pingat perak lagi, kita tetap berbangga. Tetapi untuk susuk tubuh bernama Datuk Lee Chong Wei pastinya mahu menghadiahkan pingat emas untuk negara.

Perjuangan kali ketiga di pentas akhir badminton Olimpik, dua edisi telah mengecewakan beliau ketika tumpas kepada jaguh China, Lin Dan 2008 dan 2012.

Semalam Chong Wei masih membuktikan betapa perjalanannya di Rio de Janeiro mendebarkan detak jantung jutaan rakyat Malaysia.

Malam ini peluang terakhir kontinjen negara untuk meraih emas dan mencipta sejarah terletak di bahu anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Chong Wei dan rakan seperjuang menyatukan suara segenap lapisan masyarakat, mata Melayu, jeritan India, resah Cina dan debaran semua bangsa anak Malaysia yang tertumpu tajam ke setiap sudut gelanggang badminton.

Malaysia, jangan pernah menyerah. Lihat bagaimana Chong Wei bangkit dengan kesabaran panjang dan berjiwa besarnya. Dihukum pergantungan selama lapan bulan (kes doping), kemudian bangkit mengejar misi kelayakan Olimpik.

Dan hari ini dengan kesedaran kita semua, pendekar raket kita akan bertarung dengan seorang lagi pahlawan negara Tembok Besar iaitu Chen Long.

Rekod pertemuan lalu menyaksikan kelebihan berpihak kepada Chong Wei dalam 24 perlawanan lalu, dia memenangi 13 pertarungan berbanding lawannya, Chen Long dengan 11 kemenangan.

Selepas melepasi halangan Lin Dan, separuh Tembok Besar China 'runtuh', separuh lagi akan ditentukan malam ini.

Berdepan Chen Long pastinya Chong Wei akan turun dengan kemampuan menyerap tekanan lebih mudah berbanding bersemuka dengan wajah bengis dan egois Lin Dan.

Psikologi tenang

Sebagai pemain nombor satu dunia, atas kertas kini kelebihan milik Chong Wei walaupun kita tetap perlu waras juga dengan kehebatan Chen Long yang tinggi lampai ini.

Secara ringkasnya, permainan Chen Long bukan pemain yang minat dengan aksi agresif.

Kelebihannya adalah dengan perang psikologi tenang, seperti mana dia mematahkan setiap serangan dengan balasan pukulan lembut ke sudut mengelirukan lawan.

Lenggok dan bahasa badan yang perlu diawasi Chong Wei.

Namun, sebagai pemain lebih berpengalaman Chong Wei pastinya sedar taktikal variasi Chen Long yang dilihat sukar dibaca pergerakannya.

Dalam tempoh beberapa jam saja lagi, penentuan pingat emas perseorangan lelaki Olimpik Rio 2016 akan diperhitungkan.

  • Umur

Lee Chong Wei 33 tahun
Chen Long 27 tahun

  • Jumlah pertemuan 24

Chong Wei menang 13
Chen Long menang 11

  • Pencapaian Olimpik

-Chong Wei pingat perak 2008,2012
-Chen Long pingat gangsa 2012

Doa kita

Malaysia memerlukan Chong Wei. Pemain berusia 33 tahun itu pastinya mengharapkan doa segenap penyokongnya.

Mari kita kumpulkan doa dengan keyakinan masing-masing, untuk melihat Chong Wei melawan dan menang selepas sekian lama menyimpan cita-cita meraih emas Olimpik.

Chong Wei lakukan bukan untuk dirinya saja, bukan untuk Datin Wong Mew Choo saja, tapi untuk kita semua!

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen