malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Jerman tumbang, Perancis bergaya ke final
Diterbitkan:  Jul 8, 2016 5:11 AM
Dikemaskini: 10:57 PM
ADS

Dari satu segi ia perlawanan akhir yang ditakdirkan berlangsung lebih awal.

Detik terbaik untuk menyaksikan Jerman dan Perancis beradu kekuatan adalah pada final Euro 2016 namun undian menentukan kedua-dua pasukan terpaksa berdepan di peringkat separuh akhir.

Menunggu di final pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia) nanti ialah Portugal.

Dan Perancis berpeluang mencipta sejarah sekali lagi di Stade de France di Saint-Denis seperti dilakukan pasukan berkenaan genap 18 tahun lalu.

Pada 12 Julai 1998 lawan yang didepani Les Bleus dalam perlawanan akhir Piala Dunia ialah Brazil, manakala pada 11 Julai nanti ialah ‎A Seleccao.

Perlawanan separuh akhir di Stade de Lyon tadi secara keseluruhan membayangkan tuan rumah akan kecundang di laman sendiri.

Skuad bimbingan Joachim Low lebih banyak melakukan serangan mencemaskan, manakala Perancis berharap kepada gerakan mengejut bagi mencabar ketangkasan Manuel Neuer.

Di sebalik keranggian Jerman sebagai juara Piala Dunia 2014, tindakan cemerkap Bastian Schweinsteiger mahu mengekang tandukan Patrice Evra.

 

 

Pengadil melihat bola terkena tangan pemain Manchester United itu lalu menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Antoine Griezmann mudah menyempurnakan tugasnya untuk menolak bola masuk menerjah kanan gawang sambil menghantar Neuer ke arah kiri.

Gol pembukaan itu dicatat kira-kira dua minit pada masa tambahan separuh masa pertama.

Griezmann sekali lagi mencatat namanya sebagai penjaring apabila menendang bola ke gawang Jerman untuk gol kedua pada minit ke-72.

Jika gol pertama berpunca daripada kesilapan Schweinsteiger, kesalahan gol kedua pula boleh disandarkan kepada Neuer yang gagal menolak bola jauh dari kawasan berbahaya sebelum kesempatan itu digunakan Griezmann.

Separuh masa kedua menampakkan Jerman semakin terdesak mencari gol. Walaupun ada banyak juga peluang terhidang, ia gagal disempurnakan anak buah Joachim Low.

Pada 12 Julai nanti bertempat di Stade de France Perancis mungkin mampu mengulangi kejayaan menjulang piala utama dunia di gelanggang sendiri seperti pernah dilakukannya pada 1998.

Memang Perancis menjuarai Euro pada 2000 di Rotterdam, Belanda namun mengungguli kejuaraan di tempat sendiri tentu membawa makna lebih besar kepada Didier Deschamps serta jutaan penyokong mereka.

Lihat Komen