Pelbagai reaksi ditunjukkan peminat bola sepak tempatan selepas pemain JDT menayang kejayaan dan kemewahan mereka dengan tujuan untuk 'memberi motivasi' kepada peminat sukan.
Facebook Johor Southern Tiger semalam memuat naik gambar dua pemain JDT, iaitu Safiq Rahim dan S Kunalan bersama kereta baru mereka.
Ada yang menyokong dan tidak kurang mereka yang mempersoalkan tindakan menayang kenderaan mewah tersebut.
Menyusuli gambar bersama kereta jenis Ford Mustang, Safiq berkata, mereka bangun setiap hari mengucapkan syukur kepada Allah dan hidup berjaya.
"Mereka (orang lain) bangun setiap hari memikirkan untuk menulis perkara negatif tentang kami," kata kapten skuad Harimau Selatan itu.
Sementara Kunalan pula memberi kata-kata motivasi di samping gambar bersama kereta barunya jenis Dodge Challenger.
"Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Tetapi jangan berhenti berusaha untuk apa yang anda mahukan.
"Gaya hidup JDT. Keluarga JDT," katanya.
Rata-rata pengguna media sosial menyatakan rasa kagum mereka terhadap pencapaian dan kemampuan pemain JDT sama ada di atas padang mahupun di luar padang bola sepak.
Tidak kurang juga segelintir pengguna Facebook yang mempersoalkan tujuan mereka menayang kenderaan mewah tersebut.
Pemilik akaun Facebook, Dhiyauddin Budiman berkata, tindakan dua pemain tersebut itu menunjukkan karier bola sepak bersama JDT mendatangkan hasil kepada pemain bola yang mahukan perubahan.
"Yang inginkan perubahan dari segi ekonomi dan keinginan memiliki sesuatu. Syabas JDT mampu mengubah persepsi orang luar tentang bola sepak kita," katanya dalam ruangan komen gambar tersebut.
Idris Saifulanwar pula berkata, pemain tidak perlu menunjuk kereta cantik sebaliknya perlu tunjuk permainan yang cantik dan bermutu.
"Dari dulu sampai sekarang tahap bola sepak Malaysia hanya tahap sukan SEA. Kereta, kasut bola dan rambut nak setanding pemain bola sepak dunia
"Tapi kenapa permainan tak setaraf pemain dunia. Memang duit dia biarlah dia nak buat apa, hakikatnya sukan bola sepak Malaysia tetap hampeh (teruk)," katanya.