Bahagian 3
Kemudian Datuk diundang menyampaikan ucapan perasmian. Beliau memulakan dengan memuji usaha PPI Siru Kambam kerana menganjurkan ceramah sastera. Kemudian beliau bercakap tentang apa yang diketahuinya tentang sastera. Aduh! Mengapa harus memalukan dunia sastera? Datuk memperkatakan tentang penulisan sastera seperti seorang budak berumur 12 tahun. Di sana-sini beliau sekadar menyelitkan kata-kata daripada Thirukkural, Bhagavad-Gita, Ramayana dan beberapa buku sastera barat.
Saya dapat perhatikan reaksi sasterawan yang cuba bersikap selamba. Beliau cuba menahan tawa. Dapat saya agak apa yang beliau fikirkan: "Mujurlah Datuk bercakap dalam Bahasa Tamil dan tidak ada sasterawan serta khalayak Melayu di sini."
Kalau tidak, saya sendiri pasti bahawa mereka akan ketawa besar melihat mentaliti Datuk dalam hal penulisan sastera! Dan mentaliti Datuk pasti dijadikan pembaris bagi mengukur mentaliti masyarakat yang bernaung di bawah PPI pimpinan Datuk.
Tetapi agak mujur juga kerana nampaknya hampir keseluruhan hadirin hanya membaca karya Bahasa Tamil. Itu pun sekadar membaca tanpa menganalisis; tanpa pembacaan kritikal. Mereka juga mengagung-agungkan Datuk sehingga menganggap segala ucapan Datuk sebagai ucapan yang tinggi nilainya. Jika begini selamanya, bagaimana khalayak ini akan dapat mencerna isu yang dikemukakan oleh saudara penceramah dalam kertas kerja beliau?
Eh! Datuk telah bercakap selama hampir satu setengah jam. Jadi bilakah sasterawan kegemaran saya akan mendapat peluang? Saya perhatikan beliau yang masih duduk tenang di pentas. Datuk pula terus bercakap dengan penuh bersemangat sambil memegang mikrofon di tangan kiri. Suaranya lantang tetapi isinya kosong. Tetapi para hadirin bertepuk pada setiap kali Datuk mengakhiri satu ayat. Tidak ubah seperti budak-budak darjah satu di sekolah Tamil yang gembira mendengar cerita karut daripada guru mereka!
"Saya telah berucap agak lama di sini," kata Datuk akhirnya. "Kalau boleh, memang banyak ilmu yang boleh saya curahkan kepada anda berhubung penulisan karya sastera."
Saya tersenyum sendiri mendengar kata-kata itu. Sasterawan yang datang sebagai penceramah juga kelihatan tersenyum.
