malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
ULASAN | Isu bendera: Anwar perlu hentikan sikap perkauman Akmal
ADS

ULASAN | Projek SAMA menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertindak berani menghentikan “pemburuan pesalah bersasaran kaum” (ethnic witchhunt) oleh Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh — seorang anggota kerajaan campuran Madani pimpinannya — yang mengugut untuk mengadakan protes terhadap seorang pemilik kedai di Pulau Pinang, Feng Jin Zhen, sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mendakwa beliau berhubung dakwaan mempamerkan Jalur Gemilang secara songsang.

Projek SAMA menuntut supaya penyiasatan dan gangguan terhadap Feng — yang kini dibebaskan atas jaminan polis — dihentikan, memandangkan kekhilafan itu menurutnya berlaku tidak sengaja ketika beliau mengukur panjang bendera di atas kayu bendera.

Projek SAMA menegaskan keperluan menghormati Jalur Gemilang dan mengibarkannya dengan penuh hormat.

Walaupun pengibaran bendera kebangsaan dengan cara betul adalah penting, kesilapan yang tidak disengajakan tidak wajar dibesar-besarkan dan dipolitikkan sehingga mengakibatkan “pemburuan pesalah bersasaran kaum”.

Jika Kerajaan Madani ingin mendakwa pemilik kedai hanya kerana kesalahan mempamerkan Jalur Gemilang, maka rakyat Malaysia boleh menjangka penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dengan pendakwaan dalam kes-kes lain yang berkaitan dengan bendera kebangsaan, antaranya:

  • (a) 11 Ogos 2025 — Pemuda Umno Terengganu memaparkan Jalur Gemilang cacat dengan hanya 12 jalur dalam poster kempen #JusticeforZara.

  • (b) April 2025 — Kementerian Pendidikan menggunakan Jalur Gemilang cacat ciptaan AI dalam laporan keputusan SPM.

  • (c) Mei 2025 — PAS Terengganu mengubah suai Jalur Gemilang dalam poster Himpunan Teguh Memimpin Terengganu.

Dalam kedua-dua kes April dan Mei, pihak terkhilaf memohon maaf dan isu itu selesai — wajar dan adil.

Rakyat tidak ingat Akmal pernah mengugut pihak-pihak ini supaya didakwa. Mengapa hipokrasi ini berlaku hari ini?

Untuk kes terbaru melibatkan Pemuda Umno Terengganu, adakah sesiapa akan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, seperti dalam kes Feng?

Projek Madani Anwar berisiko dilihat sebagai slogan kosong dan hipokrit sekiranya perdana menteri membiarkan Akmal meneruskan ‘pemburuan pesalah bersasaran kaum’, kali ini dengan memperalat bendera negara.

Kejayaan Akmal memberikan tekanan kepada polis dan mengugut AGC mencerminkan mentaliti segelintir ahli politik yang melihat agensi penguatkuasaan sebagai senjata eksekutif untuk menundukkan pihak lain demi nilai politik.

Ini menunjukkan perlunya penyahpolitikan (depoliticalisation) Pendakwa Raya dengan memisahkannya daripada AGC.

Rakyat Malaysia masih ingat sikap berdiam diri Anwar pada Mac 2024 yang membolehkan kempen berapi-api Akmal berhubung penjualan stokin didakwa mengandungi perkataan “Allah” membesar menjadi krisis nasional — termasuk tiga serangan bom api terhadap KK Mart di Bidor, Kuantan dan Kuching — tanpa seorang pun suspek ditangkap polis.

Janji Akmal untuk “mengajar” pemilik kedai cara menggantung bendera dengan betul — selepas melabel dan mengecam beliau secara terbuka — menghampiri vigilantisme, iaitu mengambil undang-undang di tangan sendiri terhadap seorang rakyat biasa yang ingin menunjukkan patriotisme tetapi melakukan kekhilafan awal yang segera diperbetulkan.

Jika niat jahat Akmal untuk mengapi-apikan emosi rakyat dengan menghasilkan ketakutan, rasa tidak selamat, dan kebencian dibiarkan, bolehkah sesiapa menjamin kedai yang disasarkan ini tidak akan menjadi mangsa serangan bom api seperti sebelum ini?

Paling menjijikkan, taktik keji ini digunakan semasa rakyat bersedia menyambut Hari Merdeka dan Hari Kebangsaan.

Walaupun menyedihkan, ini juga panggilan kesedaran tentang makna sebenar menjadi rakyat Malaysia dan apa yang perlu kita lakukan untuk mempertahankan watan.

Simbol negara seperti Jalur Gemilang sepatutnya menyatukan rakyat dengan rasa bangga dan tujuan bersama — bukan dijadikan senjata untuk menyerang individu atau komuniti.

Mempersenjatakan patriotisme demi kepentingan politik hanya merosakkan nilai yang diwakili bendera itu — perpaduan, maruah, dan hormat-menghormati antara semua rakyat Malaysia.

Jika berlaku kesilapan dalam mempersembahkan simbol negara, didiklah — jangan memalukan. Laksanakan kempen kesedaran awam tentang cara pengendalian Jalur Gemilang yang betul, bukannya budaya memalukan atau memburu pesalah mengikut kaum.

Seruan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, agar rakyat tidak takut mengibar Jalur Gemilang menjadi tidak bermakna.

Adakah salah rakyat jika mereka takut mengibarkan Jalur Gemilang kerana bimbang menjadi sasaran akibat kekhilafan?

Paling dikesali, daripada mengingati orang ramai tentang sifat tidak sengaja dalam kekhilafan Feng, menteri sendiri menyertai korus pengecaman.

Kalau kita gunakan akal budi, apakah faedah untuk seorang pemilik kedai dengan sengaja mengkibarkan Jalur Gemilang secara songsang?

Tiada masyarakat yang terlepas daripada kemunculan ahli politik pemecah-belah seperti Akmal.

Namun di negara lain, mereka gagal memusnahkan perpaduan kerana pemimpin dan rakyat lantang menghentikan anasir sebegini.

Pada 2024, Parti Konservatif Britain menggantung keahlian Lee Anderson kerana menuduh Datuk Bandar London, Sadiq Khan, dikawal golongan Islamis.

Jika kerajaan Konservatif Britain di bawah Rishi Sunak boleh mengekang Lee Anderson, mengapa kerajaan Madani Malaysia di bawah Anwar Ibrahim tidak boleh mengekang Akmal?

Seperti kata-kata yang sering dikaitkan dengan ahli falsafah dan ahli politik British Edmund Burke: “Segala yang diperlukan untuk kejahatan menang adalah apabila orang baik tidak berbuat apa-apa.”

Apa yang Akmal lakukan seterusnya tidak sepenting apa yang Anwar Ibrahim akan lakukan atau tidak lakukan.

Anwar boleh membuat pilihannya dan rakyat Malaysia akan membuat pilihan mereka masing-masing dalam masa dua tahun setengah lagi.


PROJEK SAMA NGO yang memperjuangkan pembaharuan institusi demi kestabilan politik dan akauntabiliti.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen