malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Membaca mungkin mudah, tapi memahami apa yang kita baca tentu tidak semudah dari apa yang kebanyakan orang sangka.

Ke mana-mana sahaja saya pergi pasti ramai yang akan berjumpa dan bertanya. Apakah buku yang perlu mereka miliki dan baca untuk mengetahui bentuk dan mengenali warna politik sebenar supaya mereka dapat mendengar bisik dan pekik propaganda apa yang asli, tiruan, benar dan tipu daya.

Soalan itu kerap membawa fikiran saya kepada kata-kata Sasterawan Negara A Samad Said yang dulu selalu lantang bersuara terhadap kepongahan politik Malaysia. Beliau dalam bukunya berjudul Bisik Warna ada menukilkan satu sisipan mutiara kata berbunyi.

“Paduan fikir, buku; himpun kuasa, kubu.”

ADS

Kata-kata itu menggerakkan saya untuk berhenti seketika dari makan bermacam juadah kuih raya untuk menuliskan tulisan ini dengan segera.

Cara saya menerima, menghadam, memberikan tafsiran dan membina kefahaman tentang mutiara kata Pak Samad itu mungkin berbeza. Kalau ia tidak sama dengan kefahaman sesiapa pun, itu tidak mengapa kerana seperti apa katakan awal tadi. Membaca itu mudah, yang sukar adalah memahami serta memberikan erti dan makna ke dalamnya.

Propaganda pun begitu juga, ada orang yang merasakannya jahat, menerimanya sebagai pembohongan dan menafsirkan propaganda itu sebagai muslihat bagi mencapai suatu rancangan tipu daya. Ada juga yang mentafsir ia adalah alat persuasif dengan tujuan positif.

Justeru itu membaca buku yang betul adalah penting untuk mengenali dan sekali gus dapat memahami propaganda. Dalam artikel ini saya akan menyenaraikan tujuh buku propaganda terbaik sepanjang zaman. Saya juga berusaha menyumbang ke arah itu dengan menulis buku panduan berbahasa Melayu bertajuk Kuasa Propaganda pada tahun 2018.

Walter Lippman pada tahun 1922 menulis buku berjudul Public Opinion yang menjelaskan berkenaan beberapa aspek asas pembentukan sesuatu propaganda. Lippman menjelaskan secara terperinci bagaimana kekuasaan persepsi yang berubah menjadi suatu kepercayaan adalah hasil dari pembentukan yang dilakukan oleh media ketika Perang Dunia Pertama.

Menurut Lippman, polemik, pendapat awam dan wacana masyarakat tidak terhasil dengan sendiri, malah ia adalah hasil kerja media yang pada akhirnya menuntut agensi dan institusi negara untuk menjalankan peranannya menyaring dan mengawal maklumat yang mungkin sahaja palsu dari terus disebarkan.

Buku itu memperkenalkan istilah ‘pseudoreality’ iaitu realiti palsu ciptaan media yang boleh mengakibatkan keadaan aman menjadi tidak stabil. Lippmann turut memperkenalkan istilah 'stereotaip' sebagai menyederhanakan sesuatu naratif yang kompleks pada poster, label dan simbol.

Harold Laswell seorang saintis politik pernah mendapat perhatian melalui penerbitan kajian tesis doktor falsafah beliau pada tahun 1927 berkenaan Teknik Propaganda dalam Perang Dunia Pertama.

Laswell menekankan bagaimana aspek psikologi manusia dipergunakan dalam mencapai niat dan tujuan sesuatu propaganda.

Senada dengan pandangan Lippman, Laswell yakin propaganda adalah alat penting bagi membentuk pendapat awam untuk mengawal sokongan rakyat. Laswell melabel musuh sebagai ancaman yang perlu dimusnahkan dan membuatnya tidak relevan.

Teknik pendekatan dan ciri-ciri propaganda Laswell dan Lippman turut berlaku di Malaysia. Penggunaan label secara berulang kali di media yang memberikan imej BERSIH sebagai alat pihak asing adalah contoh naratif ini.

Pendekatan teknik dan ciri propaganda banyak dibangunkan oleh Edward Bernays yang dikenali sebagai Bapa Propaganda. Dalam buku karyanya berjudul Propaganda, Berneys menjelaskan elemen perhubungan awam dalam mengawal pendapat awam sebagai manipulasi dalam propaganda.

ADS

Kaedah teknik penciptaan keperluan palsu seperti status sosial dan gaya hidup banyak dijadikan panduan dalam penghasilan iklan komersial seperti rokok, dan produk kecantikan. Malahan penggunaan ‘influencer’ telah diajarkan oleh Bernays dalam bukunya yang terbit pada 1928 itu.

The Fine Art of Propaganda karangan Alfred & Elizabeth Lee pada tahun 1939 adalah buku propaganda yang perlu dibaca. Buku yang ada kaitan dengan Institute Propaganda Analysis (IPA) memperkenalkan kita dengan 7 teknik propaganda yang sangat berpengaruh.

Teknik ‘Glittering Generalities’ seperti apa yang boleh kita lihat melalui frasa Malaysia Madani, 1 Malaysia dan Keluarga Malaysia. Mengaitkan simbol-simbol tertentu dengan parti seperti PAS - Parti Islam serta Teknik ‘testimonial’ yakni meraih sokongan tokoh tertentu seperti ulama dan selebriti untuk membina imej adalah hujah Alfred & Elizabeth Lee dalam buku ini.

Beberapa teknik lain seperti ‘Bandwagon’ sepertimana tindakan Umno bagi mendapatkan kemerdekaan, dan kaedah ‘Card Stacking’ iaitu memilih satu sisi maklumat untuk dipertonjolkan seperti keadaan ekonomi yang baik serta ‘Plain Folks’ iaitu pimpinan yang berjiwa rakyat adalah ilmu-ilmu yang dijelaskan dalam buku ini.

Buku seterusnya yang harus dibaca adalah The Formation of Men Attitude tulisan Jacques Ellul, 1965. Menurut Elluls, propaganda bukan hanya alat komunikasi tetapi satu proses membentuk sikap secara sistematik yang berlangsung tanpa disedari, menerusi manipulasi maklumat dan proses psikologi. Kawalan pemikiran secara halus menurut Elluls tidak hanya datang dari kerajaan kerana proses propaganda telah berkembang berlaku melalui banyak platform media, teknologi dan budaya popular selain dari politik.

Buku ini ada menyentuh teknik ‘framing’ atau pembingkaian seperti membingkaikan penyokong Langkah Sheraton dengan label pengkhianat dan penggunaan kod warna atau simbol yang mudah dikenal seperti warna oren yang digunakan Parti Amanah, adalah contoh apa yang diperbincangkan oleh buku ini.

Antara buku yang paling sensasi dalam senarai ini adalah buku Manufacturing Consent tulisan Herman & Chomsky yang diterbitkan pada 1988.

Buku ini sangat menarik kerana ia menganalisa media massa sebagai alat propaganda dan tapisan-tapisan yang membentuk realiti politik melalui pengenalan model propaganda yang baru. Menurut Herman dan Chomsky dalam buku ini, propaganda bukan saja harus diurus dengan mekanisme ekonomi, mengikuti elit pemerintah dan kepentingan korporat, malah media bukan sahaja berperanan sebagai saluran maklumat tetapi adalah medium kawalan sosial.

Pandangan mereka ini diaplikasikan melalui pemilikan bahan media seperti TV3, RTM dan Bernama. Kandungan siaran pula cenderung tidak kontroversi dengan pihak pembiaya iklan dan menyisihkan suara-suara penentang adalah teknik propaganda yang buku ini popularkan.

Buku ketujuh yang perlu anda baca untuk memahami politik adalah buku How Propaganda Works tulisan Jason Stanley, 2015. Sebagai seorang pensyarah di Universiti Yale, buku ini banyak menjurus kepada kajian-kajian politik dan falsafah bagaimana propaganda berfungsi bagi mengekalkan kekuasaan serta mengawal fikiran masyarakat dalam dunia demokrasi moden.

Perbincangan pertembungan antara propaganda positif dengan propaganda manipulatif disampaikan secara terperinci dalam buku ini. Teknik gaya bahasa propaganda yang kabur, samar dan berlapik memperlihatkan bahasa digunakan sebagai alat kawalan propaganda.

Demikian adalah inti 7 buku propaganda terbaik sepanjang zaman. Paduan buah-buah fikiran dalam buku-buku ini boleh jadi himpunan kekuasaan. Ia boleh dijadikan panduan ilmu untuk bertindak dan kubu kuasa agar kita tahu, faham dan berikan nilai bahawa propaganda tidak semestinya buruk atau jahat, kerana ia juga senjata untuk membaiki keadaan konflik dan situasi kecemasan untuk kita terus kekal hidup aman dalam ekonomi yang stabil.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah naib ketua Umno bahagian Sungai Besar dan bekas ahli parlimen.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen