malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Kolum
ULASAN | Hati-hati dengan kecenderungan autoritarianisme
ADS

Memasuki tahun baru 2025, Anwar Ibrahim sudah menduduki takhta Perdana Menteri Malaysia selama dua tahun lebih. Joko Widodo telah habis tempoh maksimumnya sebagai Presiden Indonesia, dan kini digantikan oleh bekas musuh politiknya yang kemudian menjadi sekutunya, Prabowo Subianto.

Di Singapura, tahun 2024 menyaksikan perubahan kepimpinan Perdana Menteri daripada Lee Hsien Loong kepada Lawrence Wong, manakala Thailand pula mendapat Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri baru selepas Srettha Thavisin dimakzulkan oleh Mahkamah Perlembagaan negaranya pada Ogos 2024.

Dari jauh, seorang pemerhati politik barangkali merasakan bahawa ada progres yang lebih baik untuk demokrasi di Asia Tenggara, sekurang-kurangnya dengan melihat betapa perubahan kepimpinan boleh berlaku tanpa kekecohan besar atau pertumpahan darah.

Memang, dari sudut penerapan demokrasi, kita di Asia Tenggara memang harus berbangga kerana jika dibandingkan dengan negara-negara di rantau lain, perjalanan demokrasi di rantau kita secara relatifnya lebih aman dan lancar, tanpa menafikan bahawa dalam sejarah, proses untuk sampai ke tahap ini memakan korban yang besar.

Namun, seorang pemerhati yang lebih teliti mesti melihat lebih dalam daripada permukaan—air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Perubahan-perubahan tampuk kepimpinan yang berlaku boleh dianggap sebagai hal-hal zahir di permukaan, tetapi hal yang benar-benar terjadi di peringkat institusi dan masyarakat, itulah yang lebih utama untuk diperhatikan.

Sekurang-kurangnya, di Malaysia dan Indonesia, terdapat kecenderungan untuk bukan saja mengekalkan autoritarianisme lama, malah menambah pula bentuk-bentuk autoritarianisme baharu.

Anwar contohnya, walaupun sudah dua tahun menjadi Perdana Menteri, tidak langsung menyentuh apa-apa berkenaan janjinya untuk memperkukuh reformasi undang-undang.

Contohnya, Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang jelas- jelas drakonian dan merupakan manifestasi perundangan bagi sebuah negara autoritarian pun tidak disentuh, meskipun memiliki sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Apabila aktivis Fahmi Reza dipanggil ke balai polis kerana melukis satira mengkritik korupsi Musa Aman yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, Anwar tidak melakukan apa-apa. Di negara jiran pula, Jokowi bukan sekadar menyusun supaya anaknya menjadi Wakil Presiden, tetapi turut melantik anggota keluarganya sebagai hakim Mahkamah Konstitusi.

Persoalan besar yang muncul di sini ialah, setelah Anwar sendiri pernah dizalimi oleh undang-undang serta institusi yang autoritarian tersebut, seperti penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika beliau masih aktivis mahasiswa pada 1974, dan sekali lagi semasa Reformasi 1998, mengapa beliau seperti tidak kisah dengan semua itu setelah berkuasa? Beliau bukan tidak tahu risikonya, iaitu undang- undang seperti Akta Hasutan bakal digunakan lagi untuk membungkam musuh politik secara zalim.

Tidak cukupkah pengalaman dirinya sendiri menjadi motivasinya untuk membuang saki-baki autoritarianisme negara kita ke longkang sejarah?

Jawapan paling mudah dan ringkas yang selalu dikatakan orang ialah perihal kuasa politik yang memabukkan. Menurut jawapan ini, sesiapa saja yang memegang kuasa politik, pasti akan melupakan segala idealisme zaman muda, konsep-konsep muluk yang pernah dipegang, malah cita-cita murni untuk memperbaiki kerosakan masyarakat akibat kemabukan dihanyut kenikmatan kuasa.

Pun begitu, jawapan ini terlalu simplistik jika mahu dipakaikan terhadap kes Anwar atau Jokowi. Anwar, yang bermula sebagai aktivis mahasiswa beraliran Islamis, memasuki kerajaan sampai ke kepimpinan tertinggi, kemudian dipasung, lalu memasuki politik kembali sebagai Ketua Pembangkang, seterusnya dipasung lagi, setelah keluar menjadi Ketua Pembangkang sampailah akhirnya menjadi PM.

Dengan pengalaman yang pelbagai ini, adalah tidak masuk akal jika orang seperti Anwar mudah-mudah “mabuk.” Dirinya sendiri pun pasti mengetahui tentang masalah “kemabukan kuasa” ini.

Tetapi, mengapa Anwar masih pasif tatkala berdepan dengan tindakan-tindakan autoritarian di bawah pemerintahan beliau? Benar, kita perlu menyalahkan beliau kerana usaha untuk membuang institusi autoritarian sepatutnya digalas oleh seorang PM yang sudah berpuluh tahun mensyarahkan isu-isu kebebasan, hak asasi manusia, demokrasi, dan lain-lain.

Namun, pada masa yang sama, kecenderungan autoritarian bukan saja terjadi kepada individu yang menjadi pemimpin. Dalam sebuah negara moden, autoritarianisme bukanlah sekadar satu cara fikir, cara bertindak, atau sikap seorang pemimpin. Ia boleh melekap menjadi budaya institusi, berevolusi, dan tumbuh bagai parasit bersama-samanya, melampaui sesiapa pun individu yang memimpinnya.

Justeru, untuk cuba memahami perkara ini, perihal kecenderungan autoritarianisme dalam institusi negara moden mestilah dibedah juga.

Negara moden dan institusi autoritarian

Sebuah negara moden adalah terdiri daripada institusi dan sistem undang-undang yang berfungsi secara terpisah daripada peribadi mana-mana pemimpin (impersonal).

Susunan institusi dan undang-undang, bersama peraturan-peraturan, hierarki, serta tugas setiap pekerja ini wujud dalam sebuah mesin birokrasi. Dalam konteks Malaysia, mesin ini dihuni dan dikendalikan oleh sekumpulan pekerja yang dikenali sebagai “penjawat awam” secara umum.

Para penjawat awam dipilih untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut juga melalui prosedur-prosedur khusus seperti peperiksaan, temuduga, dan mereka mesti memiliki “kelulusan” tertentu untuk memohon menjadi anggota mesin yang agam ini.

Antara analisis terawal secara sosiologi terhadap cara birokrasi moden berfungsi adalah melalui penulisan Max Weber. Weber melihat bahawa salah satu gejala pemodenan masyarakat adalah melalui perasionalan proses-proses serta institusi menjadi sesuatu yang tercerai dengan apa-apa nilai puncak sebagai matlamatnya.

Hasilnya, wujudlah struktur birokrasi moden seperti yang kita kenali pada hari ini. Institusi negara moden tidak bergerak untuk mencapai kehendak atau matlamat mana-mana individu tertentu atau apa-apa nilai muluk, tetapi para pengendalinya berpegang kepada hal-hal abstrak seperti “berkhidmat untuk negara,” walaupun pada hakikatnya, maksud bagi slogan itu tidak jelas.

Akhirnya, institusi-institusi berserta penghuni-penghuninya bukan saja gagal mencapai matlamat kononnya mahu “berkhidmat untuk negara” tersebut, ia akan berakhir menjadi “berkhidmat untuk kelangsungan proses, prosedur, dan struktur birokrasi dirinya sendiri.”

Lebih parah, ada pula yang berkhidmat untuk perut sendiri semata-mata, apatah lagi setelah kita memasuki zaman kapitalisme kini.

Oleh sebab itu, jika kita melihat refleksi Hannah Arendt terhadap perbicaraan kes Adolf Eichmann, salah seorang pengurus logistik Nazi ketika holocaust lewat Eichmann in Jerusalem, kita dapat memahami betapa mesin birokrasi moden, melalui proses-proses dan hierarkinya yang khusus, berhasil memisahkan prosedur dirinya sendiri dengan apa- apa nilai moral yang sepatutnya ia capai.

Melalui perbicaraan tersebut, Eichmann tidak memegang apa-apa ideologi yang jelas, apatah lagi menyokong Nazisme di peringkat ideologi. Beliau juga tidak bertindak dengan niat yang jelas untuk membunuh orang lain ketika holocaust. Persoalannya, jika tidak ada niat atau matlamat yang jelas untuk membunuh, malah tidak pula berpegang dengan ideologi Nazisme, mengapakah semua tindakannya mengarah lalu menuju ke situ akhirnya?

Menurut Arendt, Eichmann menjadi Eichmann kerana dia hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang birokrat dan memenuhi prosedur kerja mengikut peraturan-peraturan jabatannya. Kemudian, setelah dia berhasil memenuhi syarat-syarat yang terkandung dalam Indikator Prestasi (KPI) yang telah ditetapkan oleh pihak atasannya, dia akan naik pangkat dan naik gaji sepertimana yang ditetapkan dalam garis panduan pekerjaannya.

Di sinilah masalah sebenar bakal muncul—apabila ketuanan proses dan prosedur mengatasi apa-apa hasil yang akan dicapai melalui prosedur tersebut. Malah, para penjawat awam yang barangkali tiada langsung niat jahat di hati mereka, bahkan sememangnya ikhlas dalam pekerjaan masing-masing, bakal berjaya menghasilkan dan mereplikasi kejahatan-kejahatan yang timbul sebagai hasil daripada proses institusi yang mereka gerakkan tadi.

Gejala ini digelar oleh Arendt sebagai banality of evil—“betapa terbiasanya manusia dengan kejahatan.”

Justeru, apabila kita meneliti birokrasi berserta birokrat moden di Malaysia, kita harus fahami bahawa birokrasi tersebut turut mempunyai kehidupannya sendiri, cara ia berfikir sepertimana satu organisme hidup. Nyawanya digerakkan oleh prosedur- prosedur yang dijalankan oleh para penjawat awam, dan tidak semua hasilnya baik atau neutral.

Di sinilah, apabila kita melihat beberapa bentuk kecenderungan autoritarian, kita mesti menuntut pertanggungjawaban yang lebih tinggi daripada bukan saja orang- orang politik, tetapi mesin birokrasi negara.

Birokrasi yang melampaui Anwar

Sejak beberapa tahun ini, ada beberapa perkara yang menunjukkan kecenderungan autoritarian di Malaysia, dan adalah mengecewakan tatkala Anwar serta kabinetnya tidak melakukan apa-apa tindakan proaktif untuk memperbaikinya.

Contohnya, isu doktor kontrak bersama-sama beban kerja doktor yang tidak masuk akal di bawah Kementerian Kesihatan. Hal ini tidak kunjung selesai atas dasar prosedur birokrasi yang membantutkan progres, lalu menghasilkan kezaliman kepada para doktor muda bersama-sama pesakit mereka sekali gus.

Begitu juga halnya dengan pembungkaman hak bersuara dalam isu Fahmi Reza, isu kegagalan Anwar melaksanakan reformasi Parlimen yang bermakna yang pernah beliau janjikan dulu, isu pengenepian hak peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang, pembatalan program pameran tentang kematian S. Balamurugan di USM atas arahan pihak atasan, kedai buku Gerakbudaya yang masih menerima lawatan pihak polis serta penguatkuasa KDN, dan bermacam- macam kes lagi. Namun, semuanya dilapik dengan alasan “prosedur,” “proses,” “saluran yang betul,” dan lain-lain.

Maka, apabila kita melihat negara sedang bergerak memenuhi kecenderungan autoritarian sedemikian rupa, kita perlu meninjau betapa mesin birokrasi yang dikendalikan para penjawat awam turut memainkan peranannya, di samping kegagalan bertindak para politikus. Di mana-mana negara moden, mesin birokrasi ini jauh lebih agam, berstruktur, dan ampuh berbanding kehendak para politikus, tanpa menafikan cebis-cebis kuasa yang dipegang oleh para politikus tersebut untuk mengawal institusi di bawah mereka.

Anwar, khususnya sebagai orang yang pernah menelan jadam undang-undang ISA yang drakonian itu, sepatutnya mengenalpasti masalah ini dan bertindak secara proaktif untuk menyelesaikannya. Setakat ini, tindakan yang diharapkan itu masih tiada kelihatan.

Tanggungjawab moral yang besar ini bukan saja perlu digenggam erat oleh para politikus khususnya yang berada di pihak kerajaan, tetapi juga para penjawat awam yang menghuni mesin birokrasi negara. Jika hanya beralasankan “prosedur kerja” dan “proses mengikut garis panduan” secara membuta tuli tanpa kesedaran moral kendiri, kita hanya akan mereplikasi ramai lagi Eichmann dalam institusi negara kita. Mereka secara peribadi tidak merasa bersalah kerana hanya “menjalankan tugas,” tetapi akibat sikap tidak kritis terhadap tugas berserta hasil daripada tugas masing-masing, mereka akhirnya merasa mangli terhadap hasil-hasil kerja mereka yang hakikatnya menatijahkan kezaliman kepada masyarakat terbanyak.

Tuntasnya, kejahatan mampu terhasil bukan sahaja daripada orang yang berniat mahu melakukan kejahatan lalu merealisasikannya, tetapi juga oleh orang yang hanya menjalankan tugas mereka dalam sebuah sistem besar yang bergerak menuju ke arah kejahatan itu sendiri. Bukan mudah untuk seorang manusia, khususnya yang punyai kerentanan tertentu untuk menggenggam erat apa-apa prinsip moral, tetapi memandangkan negara kita sedang bergerak menuju ke suatu arah, kita hanya punya pilihan untuk membiarkan saja atau melakukan apa-apa kudrat yang terdaya untuk membetulkannya.

Anda hanya punya dua pilihan—sama ada membiarkan saja dan bersekongkol secara tidak langsung dengan kecenderungan autoritarian tersebut, atau bertindak menentangnya berpandukan prinsip moral yang jernih. Ambillah hikmah daripada sejarawan Howard Zinn, bahawa anda tidak boleh menjadi neutral dalam sebuah gerabak yang sedang bergerak.


HAZMAN BAHAROM ialah calon Ph.D dalam bidang politik dan agama di Universiti Waseda, Jepun. Beliau berkhidmat sebagai jurulatih pasukan Malaysia ke Olimpiad Falsafah Antarabangsa (IPO), di samping telah menulis dua buah buku dan menterjemah tujuh buah buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen