Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang dipilih khas untuk mendengar rayuan kes saya dan Sukma Darmawan ialah Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Richard Malanjum dan Datuk Hashim Yusof.
Sejurus selepas menolak rayuan saya tahun lalu, Pajan telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan bersama hakim-hakim yang menjatuhkan hukuman kejam ke atas saya di Mahkamah Tinggi, iaitu Datuk Augustine Paul dan Datuk Ariffin Jaka yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
Sebaik rayuan ditolak pada April 2003, saya dan Sukma mengemukakan permohonan untuk ikat jamin sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Persekutuan, seperti yang lazim berlaku.
Hakim-hakim berkenaan menolak dengan alasan permohonan harus dibuat secara bertulis, bukan secara lisan. Peguam saya jelaskan bahawa selama ini dalam semua kes lain, permohonan lisan diterima.
Saya lantas dapat mengesan sandiwara awal mempersulit dan melengah keputusan. Peguam Negara, Datuk Abdul Gani Patail dan pasukannya bangun membantah keras setiap permohonan saya, hal yang hanya mungkin dengan arahan penguasa politik atasan.
