dikemaskini Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tugasnya sebagai penasihat Petronas ibarat "peti surat" yang membawa pandangan pihak luar kepada presiden syarikat petroleum itu Tan Sri Mohd Hassan Marican.
"Tugas utama saya macam sebuah peti surat. Saya sampaikan kepada Tan Sri Hassan bermacam-macam permintaan dan cadangan yang dikirim kepada saya.
"Saya sendiri tidak mempunyai sebarang kuasa dalam keputusan Petronas," kata mantan perdana menteri hari ini.
"Walaupun saya digelar penasihat Petronas, saya tidak memberikan apa-apa nasihat (kepada syarikat), apatah lagi kepada kerajaan (berhubung isu minyak)."
Beliau mendakwa terdapat cubaan untuk menyalahkan beliau atas alasan pernah menasihati kerajaan agar mengurangkan subsidi seperti diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 4 Jun lalu.
Kadang-kadang, tambahnya, beliau menerima taklimat yang disampaikan oleh Mohd Hassan dan mendapat laporan tahunan syarikat itu yang boleh diperolehi oleh orang ramai.
Beliau juga menganggap perdebatan beberapa ahli Dewan Rakyat semalam mengenai syarikat nasional itu sebagai permulaan percubaan golongan "tingkat empat" menggantikan Mohd Hassan, yang juga ketua pegawai eksekutif Petronas, dengan calon pilihan mereka.
"Sesetengah ahli parlimen menumpukan perbahasan tentang Petronas, kelihatannya cuba mengalihkan perhatian daripada (menumpukan kepada) kerajaan berhubung kenaikan harga minyak yang tidak difikirkan masak-masak," katanya lagi di blognya
Chedet.com
.
"Jika saya tidak salah tanggap, ia sebagai permulaan untuk melantik seorang calon pilihan tingkat empat sebagai ketua Petronas seperti mereka lakukan ketika memecat Tengku (Tan Sri) Mahaleel (Tengku Ariff) sebagai (ketua pegawai eksekutif) Proton."
"Tingkat empat" istilah yang dipopularkan oleh Dr Mahathir mulai 2006 bagi merujuk kumpulan penasihat perdana menteri di pejabatnya
di Putrajaya.
Petronas sebuah syarikat yang dihormati di dunia - kedudukan 250 dalam senarai syarikat Fortune 500 - tetapi ia akan merosot jika dikuasai oleh golongan tingkat empat, kata bekas presiden Umno itu.
Beliau mengulangi kesediaannya melepaskan jawatan itu jika dipaksa berbuat demikian susulan beliau bukan lagi seorang ahli Umno.
Dr Mahathir mengambil keputusan meninggalkan parti itu 19 Mei sebagai strategi mendesak Abdullah meletakkan jawatannya.