Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) perlulah diukur dan ditingkatkan berdasarkan kepada tingkat harga semasa dan kemewahan negara, kata Pensyarah Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Amir Husin Baharuddin.
Katanya, ini bermakna, tahap pendapatan PGK perlu dinaikkan apabila kos hidup dan komponen wajaran bahan asas, seperti makanan, meningkat.
"PGK ini hendaklah diteliti pada setiap lima tahun dan jika (kadar) inflasi naik setiap tahun, maka bantuan yang lebih hendaklah diberikan kepada mereka yang memerlukannya," katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas presiden Yayasan Strategik Sosial, Dr Denison Jayasooria mencadangkan supaya ditukar kaedah yang digunakan untuk mengira PGK sekarang.
Bagaimanapun, Prof Amir berkata cara pengiraan itu tidak perlulah ditukar kerana setiap kaedah yang digunakan mempunyai kesan positif dan negatifnya.
"Walaupun cara pengiraan PGK diubah, namun masalah kemiskinan tidak dapat juga diselesaikan," tambahnya.
Prof Amir berkata, pelbagai projek dan langkah yang dirangka kerajaan seperti pemberian subsidi, sudah mencukupi untuk membantu golongan yang memerlukan bagi meringankan beban rakyat dalam keadaan sekarang.
Sumber kewangan
"Sudah cukup dengan apa yang dilakukan kerajaan dalam menyelesaikan masalah kemiskinan, seperti melalui pembiayaan mikro kredit," katanya.
Oleh itu, katanya, tidak perlulah cara pengiraan ini diubah, selagi ia disesuaikan mengikut kadar semasa tingkat harga dan kemewahan negara.
Menurutnya, pengiraan mengikut kaedah yang digunakan oleh negara-negara maju adalah tidak sesuai kerana mereka mempunyai banyak dana dan sumber kewangan.
"Di negara-negara maju mereka mempunyai pelbagai agensi yang mempunyai sumber kewangan yang banyak dan begitu juga dengan badan bukan kerajaan (NGO) di sana. Di samping itu juga duit hasil dari cukai mereka berlebihan," katanya
Kelmarin, Dr Denison Jayasooria yang juga pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata, cara pengiraan yang diamalkan sekarang hanya melibatkan keperluan asas seperti yang dilakukan oleh negara-negara miskin, tanpa mengambil kira taraf hidup isi rumah.
Jika mengambil semua faktor-faktor tersebut, Dr Denison berkata, kadar kemiskinan adalah lebih 30 peratus dan bukan seperti yang dilaporkan oleh kerajaan iaitu sebanyak 5.7 peratus.