Bukan lagi mulai 1 Julai seperti diumumkan minggu lalu, wang rebat RM625 bagi kenderaan dan RM150 bagi motosikal akan dibayar mulai Sabtu ini.
Keputusan terbaru itu - masing-masing untuk pemilik kenderaan berkuasa bawah 2000cc dan pemilik motosikal bawah 250cc - diumumkan perdana menteri hari ini.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata mereka yang telah memperbaharui cukai jalan pada April dan Mei tahun ini juga boleh mendapatkan rebat di pejabat pos pada 14 Jun,
Maklumat lengkap cara menuntut wang itu akan diumumkan dalam masa terdekat, lapor Bernama .
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Menangani Inflasi di pejabatnya.
Rabu lalu, sewaktu mengumumkan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi minyak, beliau mengumumkan beberapa langkah mengurang beban, antaranya membuat bayaran rebat tersebut.
