Peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak layak menyiasat enam tokoh yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja siasatan klip video VK Lingam, kata ahli parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh.
"Saya berpendapat bahawa siasatan terhadap keenam-enam individu tersebut tidak sepatutnya diserahkan kepada peguam negara.
"Melalui beberapa kes yang berlaku, Abdul Gani jelas menunjukkan sikap yang tidak bebas dan berat sebelah," katanya, yang juga perakam klip video kontroversi tersebut, dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga mendesak penilaian semua kes yang melibatkan oleh bekas ketua hakim negara Tun Eusoff Chin dan peguam kanan Datuk VK Lingam kerana jelas melalui laporan suruhanjaya ini "kedua-dua mereka ini terlibat dalam percaturan hakim-hakim dan kredibiliti mereka dalam (badan) kehakiman kini dipertikaikan."
Selain dua nama tersebut, empat lagi tokoh yang dicadangkan untuk disiasat ialah mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas ketua hakim negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bekas menteri pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga setiausaha agung Umno serta tokoh perniagaan Tan Sri Vincent Tan.
Pada 16 Mei, kabinet mengarahkan peguam negara menyiasat keenam-enam tokoh ini seperti disyorkan oleh suruhanjaya diraja.