malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr Mahathir keluar Umno
Diterbitkan:  May 19, 2008 12:12 PM
Dikemaskini: 10:46 AM
ADS

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta dan menggesa ahli-ahli Umno yang lain supaya turut berbuat demikian.

Katanya, beliau bertindak keluar parti - yang diterajuinya selama 22 tahun sehingga 2003 - kerana tidak yakin dengan kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum itu, semasa majlis dailog dengan kira-kira 1,000 orang yang menghadirinya, beliau mencadangkan Ketua-ketua Umno cawangan dan bahagian keluar parti beramai-ramai sehinggalah perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan.

Katanya, ini kerana jika mereka tunggu sehingga pemilihan Umno Disember ini, Abdullah akan menang tanpa bertanding jawatan itu.

Beliau terus membuat pengumuman keluar parti apabila salah seorang hadirin mencabarnya membuat pengumuman itu.

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan hadirin yang kebanyakannya ahli Umno Kedah di majlis bertajuk "Nasib kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di Alor Star hari ini.

Dalam reaksinya, seorang lagi pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid, yang merupakan penyokong setia Dr Mahathir dan bekas menteri besar Kedah, turut mengumumkan keluar parti.

Dr Mahathir juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi ahli Umno selepas Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno, meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai eluar dari Umno)," katanya.

Dr Mahathir turut menggesa kesemua menteri Umno, timbalan menteri dan semua peringkat pemimpin, supaya bersama dengannya keluar dari parti.

Bagaimanapun, beliau meminta mereka supaya jangan menyertai parti-parti yang lain.

"Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai perdana menteri dan presidenparti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno," katanya.

'Untuk kepentingan keluarga'

Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.

"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.

"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lalu. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," katanya.

Dr Mahathir adalah perdana menteri Malaysia keempat dan memegang jawatan tersebut selama 22 dari tahun 1981 hingga 2003.

'Halang jumpa saya'

Bernama pula melaporkan Dr Mahathir turut mengajak ahli Umno yang sependapat dengannya berhubung dengan kepimpinan untuk mengikuti jejaknya dengan bertindak keluar dari parti itu tetapi bukan untuk menyertai parti lain.

"Saya yakin cara ini berkesan. Saya tidak akan menyuruh orang membuat sesuatu yang saya sendiri tidak berani melakukannya," tambahnya.

Bekas Perdana Menteri turut melahirkan rasa kecewa kerana ahli Umno masih disekat oleh kepimpinan parti daripada berjumpa dengannya.

"Sampai nak adakan perjumpaan, ahli-ahli Umno dan ketua bahagian tidak dibenar berjumpa saya. Ini apa," katanya.

Beliau berkata, tindakan kepimpinan Umno itu hanya menyebabkan timbul lebih banyak rasa tidak puas hati dan akhirnya melambangkan Umno sebagai tidak demokratik.

Ikut jejak

Ketika diajukan soalan oleh pemberita mengenai tindakannya itu akan membuat orang lain mengikuti jejaknya, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak peduli kerana saya pun disekat daripada berjumpa dengan ahli-ahli Umno."

Beliau juga yakin bahawa tindakannya meninggalkan Umno tidak akan memberi kesan kepada politik orang Melayu.

"Saya pernah dibuang dari Umno, (dan) politik Melayu tidak hilang. Kalau orang Melayu hendak betulkan, bukan kerana (tindakan) saya keluar. Kalau mereka berani hendak pelihara parti dan perjuangan parti mereka harus berani bertindak," katanya.

Dr Mahathir juga sekali lagi menegaskan bahawa Abdullah perlu melepaskan jawatan sebagai perdana menteri bagi memastikan survival Umno dan jika perlu ahli Umno boleh membuat undi tidak percaya dalam usaha memaksa Abdullah meletak jawatan.

Ditanya adakah tindakan terbarunya itu (keluar Umno) bertujuan untuk memberi tekanan kepada Abdullah, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak tahu mengenai tekanan kerana orang ini tidak faham apa-apa".

Siasatan peguam negara

Ditanya adakah tindakannya keluar dari Umno mempunyai kaitan dengan arahan terbaru Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video peguam Datuk V.K Lingam, Dr Mahathir menafikannya.

"Ini soal mahkamah... dia boleh tuduh dan kalau saya salah masuk jail. Kalau tak salah janganlah tangkap saya juga," katanya sambil ketawa.

Individu yang dinamakan dalam laporan itu terdiri daripada Lingam; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan; dua bekas Ketua Hakim Negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin serta Dr Mahathir.

Di akhir majlis itu, Dr Mahathir turut melahirkan kekecewaannya terhadap pemimpin Umno sekarang kerana bukan sahaja tidak mempertahankannya, sebaliknya turut mengkritiknya.

"Kalau dulu orang kata kononnya saya berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap tapi bila saya kritik Datuk Seri Abdullah pasai tak buat jambatan orang maki saya. Tiada siapa dalam Umno mempertahankan saya," katanya kesal.

Di majlis itu, Dr Mahathir dalam ucapannya selama sejam turut menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh hadirin antaranya berhubung pengganti Abdullah dan langkah memulihkan kuasa politik Umno.

Dr Mahathir juga mengulangi gesaannya supaya sistem kuota kelayakan untuk bertanding jawatan penting pada perhimpunan agung Umno Disember ini dimansuhkan melalui persidangan mesyuarat khas parti.

PM paling lama

Ini menjadi beliau perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat serta pemimpin yang paling lama berkuasa di Asia.

mahathir and umno 190508 Dr Mahathir dilahirkan di Alor Star pada 20 Disember 1925. Beliau aktif dalam politik sejak 1954 melalui pembabitan dalam kempen anti-Malaysian Union.

Dr Mahathir menyertai Umno apabila parti itu ditubuhkan pada tahun berikutnya (1946). Dalam pilihanraya ketiga pada 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai ahli Parlimen Kota Setar Selatan.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut pada 1969 dan kalah dengan majoriti 989 kepada calon PAS, Haji Yusoff Rawa.

Ekoran peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat dari jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno pada 12 Julai tahun berkenaan selepas beliau mengedarkan secara terbuka suratnya kepada perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

Dalam surat tersebut, Dr Mahathir mengkritik cara Tunku mengendalikan pentadbiran negara yang didakwa lebih menguntungkan rakyat keturunan Cina. Dr Mahathir kemudiannya dipecat dari parti pada 26 September 1969.

Ketika itulah Dr Mahathir menulis bukunya yang bertajuk " The Malay Dilemma " di mana beliau cuba menjelaskan punca berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei di Kuala Lumpur dan sebab-sebab mengapa orang Melayu ketinggalan di belakang dalam bidang ekonomi dalam negara mereka sendiri.

Dasar Ekonomi Baru

Bukut tersebut diterbitkan pada 1970 dan terus diharamkan oleh kerajaan Tunku. Bagaimanapun, beberapa cadangan dalam buku tersebut telah digunakan oleh Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikan Tunku sebagai perdana menteri, dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang pada asanya untuk mengambil langkah ekonomi yang afirmatif bagi menangani jurang perbezaan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Pengharaman buku itu kemudiannya ditarik balik selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981.

Beliau menyertai semula Umno pada 7 Mac 1972, dan dilantik sebagai Senator pada 1973. Dr Mahathir melepaskan jawatan senator pada 1974 untuk bertanding dalam pilihanraya umum dan menang tanpa bertanding di parlimen Kubang Pasu, dan seterusnya dilantik sebagai menteri pendidikan.

Pada 1975, beliau terpilih sebagai salah seorang naib presiden Umno. Tun Hussein Onn kemudiannya melantik Dr Mahathir sebagai timbalan perdana menteri pada 15 September 1978, dan dalam rombakan kabinet, turut melantik Dr Mahathir sebagai menteri perdagangan dan industri.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 16 Julai 1981 selepas Tun Hussein Onn melepaskan jawatan perdana menteri atas sebab-sebab kesihatan. Dr Mahathir menjadi perdana menteri yang pertama yang bukan dari keluarga bangsawan atau diraja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!