malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) menggesa menteri pengajian tinggi menjelaskan secara khusus bentuk pindaan-pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sekarang dan tidak menunggu sehingga akta itu dibentangkan di Parlimen.

“Sebelum akta itu dikaji semula, kementerian harus mendapatkan maklum balas daripada pihak belia, pertubuhan pelajar dan juga orang ramai,” kata jurucakapnya Simon Ooi hari ini.

Sambil menyatakan sokongannya kepada menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Dema juga menggesa kementerian itu membabitkan pertubuhan pelajar dalam penggubalan akta tersebut kerana ia melibatkan kepentingan mereka.

“Bagaimanapun kami benar-benar mendesak mahu menteri pengajian tinggi memansuhkan Auku kerana tujuan utama akta itu untuk menyekat aktivisme pelajar,” katanya, sebagai setiausaha pentadbiran Dema, dalam satu kenyataan.

Kumpulan pelajar itu berkata, selepas Auku dimansuhkan, akan wujud persekitaran baru yang membolehkan pelajar dan pensyarah bebas meluahkan pandangan mereka dan ia boleh menjadi langkah ke arah melahirkan pusat pengajian tinggi bertaraf dunia.

Baru-baru ini Mohamed Khaled berkata, kerajaan akan meminda Auku itu bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan setelah kajian awal mendapati beberapa peraturan dalam akta itu menyekat kreativiti pelajar dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!