malaysiakini logo
story-image
ADS

Pemuda PAS mahu monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dipecahkan agar wujud persaingan dalam pengedaran beras bagi kepentingan nasional.

"Biarlah jangan ada monopoli supaya adanya persaingan yang kompetitif," kata ketuanya Salahuddin Ayub.

"Saya tidak keberatan jika saham itu dibuka untuk pihak luar, namun perlulah ia ditadbir dengan baik."

Salahuddin diminta mengulas perkembangan sebuah syarikat asing yang sedang menguasai kira-kira 30 peratus saham dalam Bernas.

"Hal ini telah pun dibentangkan di parlimen dalam usul saya dan (perkara) ini telah pun membuka mata ramai pihak," katanya, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian kepada Malaysiakini .

Perkara itu telah disuarakannya dalam satu usul tergempar di Dewan Rakyat minggu lepas.

Wang Tak Co Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, sejak awal tahun lepas dilaporkan sedang menguasai saham Bernas sehingga lebih 25 peratus.

Syarikat tunggal pengedaran beras negara itu asalnya sebuah agensi kerajaan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang diswastakan pada 1996.

Sementara angkatan muda (AMK) PKR pula mahu Bernas dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan supaya kepentingan nasional dapat dilindungi.

Timbalan ketua AMK Fariz Musa berkata kerajaan seharusnya membeli semula pegangan kira-kira 30 peratus saham syarikat pengedar tunggal beras negara itu yang kini berada di tangan syarikat asing.

"Seharusnya Bernas tidak diswastakan dan seharusnya dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya," katanya.

"Saham yang dimiliki oleh pihak luar itu harus diambil kembali supaya kepentingan rakyat dapat dilindungi."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!