Perak mengumumkan portfolio 10 ahli majlis mesyuarat (exco) negeri di tengah-tengah kegemparan seorang wakil rakyat DAP keluar parti itu - keputusan yang boleh menggoncang kerajaan campuran itu yang memerintah dengan majoriti kelebihan tiga kerusi.
Menteri besar Mohammad Nizar Jamaluddin, wakil PAS di Pasir Panjang, sebagai pengerusi jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.
Sepuluh exco itu, tidak termasuk menteri besar Mohammad Nizar Jamaluddin, yang mengangkat sumpah Sabtu lalu mendapat portfolio berikut:
Ngeh Koo Ham (DAP-Setiawan) sebagai pengerusi jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam.
Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) - jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam.
A. Sivanesan (DAP-Sungkai) - jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.
Seah Leong Peng (DAP-Pasir Bedamar) - jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Chen Fook Chye (DAP-Keranji) - jawatankuasa Perpaduan dan Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna.
Su Keong Siong (DAP-Pasir Pinji) - jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi.
Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) - jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.
Tai Sing Ng (PKR-Kuala Sepetang) - jawatankuasa Pembangunan Industri dan Penerangan.
Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) - jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Mohd Zainuddin Mohd Yusof (PAS- Lubuk Merbau) - jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan.
Menjelang tengah hari tadi, seorang wakil rakyat DAP menimbulkan kegemparan apabila mengirim surat keluar parti dan, menurut suratnya yang diperolehi Malaysiakini , keputusannya itu "muktamad".
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong, A Sivasubramaniam, sekali lagi membuat kejutan apabila menarik kembali suratnya itu kira-kira 6 petang tadi.
Dalam suratnya kepada setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng, Sivasubramaniam mendakwa pengerusi DAP Perak, Ngeh Khoo Ham gagal menunaikan janjinya untuk melantik dua wakil rakyat kaum India menganggotai barisan exco negeri itu.
"Ini merupakan satu tamparan hebat dan satu pembohongan kepada masyarakat India di Perak," suratnya dipetik.
Ketiga-tiga parti pembangkang memperoleh 31 daripada 59 kerusi - dengan pecahan DAP (18), PKR (tujuh) dan PAS (enam).
Sebelum majlis angkat sumpah exco kelmarin dan menteri besar pada 17 Mac, kerajaan campuran Perak pernah menghadapi ketegangan dalaman apabila DAP mengugut memulaukan majlis angkat sumpah Mohamad Nizar, dan PKR mengancam tarik diri akibat pengagihan barisan exco yang dibuat tanpa merujuknya.
