malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khalid angkat sumpah MB Selangor
Diterbitkan:  Mar 13, 2008 6:18 PM
Dikemaskini: 12:46 PM
ADS

Setiausaha agung PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga wakil Ijok, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Pada istiadat itu, Khalid menerima watikah pelantikan dan diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor ke-14.

abdul khalid ibrahim Beliau kemudian menandatangani watikah pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Khalid berkata, beliau belum lagi akan melantik timbalan menteri besar pada masa ini.

“Saya mempunyai sembilan hari untuk mengemukakan senarai ahli exco kepada Sultan. Hanya selepas itu, saya akan menimbang melantik timbalan saya," katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa timbalan menteri besar tidak semestinya seorang Melayu/Islam, dan ini membuka jalan untuk DAP melantik calonnya mengisi jawatan tersebut.

Sebelum itu, difahamkan Sultan mahu calon Melayu/Islam dilantik sebagai timbalan menteri besar.

Tetapi hari ini, setiausaha sulit sultan, Datuk Mohamad Munir Bani menjelaskan bahawa sultan bersetuju sesiapa sahaja boleh dilantik mengisi jawatan tersebut.

Namun begitu, Mohamad Munir berkata, timbalan menteri besar sewajarnya seorang Melayu/Islam untuk menguruskan perkara-perkara mengenai agama Islam di negeri tersebut ketika ketiadaan menteri besar.