Tulisan ini merujuk artikel Malaysiakini berjudul Sasterawan sepatutnya berani melawan oleh Muhaimin Sulam.
“Bangsa tidak mati apabila perpustakaan sunyi; bangsa mati apabila penanya berhenti menari di atas kertas emosi.”
Ada kalanya sejarah tidak bergerak melalui dentuman meriam atau derap kasut tentera. Ia bergerak perlahan, senyap dan hampir tidak disedari, melalui sebatang pena yang enggan tunduk. Di situlah sasterawan lahir, bukan sebagai penghias pentas budaya, tetapi sebagai penjaga nurani bangsa.
Rencana Muhaimin Sulam yang menyeru agar sasterawan berani melawan mengingatkan kita kepada satu hakikat yang sering dilupakan; sastera tidak pernah menjadi anak angkat kepada kekuasaan atau melutut dan menurut jalur-jalur nafsu rejim merobotkan pembaca. Sastera ialah cermin yang memaksa kuasa dan penguasa melihat wajahnya sendiri. Cermin itu kadang-kadang retak, kadang-kadang berdebu, tetapi ia tetap memantulkan kebenaran yang sering cuba disembunyikan.
Peribahasa Melayu tidak klise malah sering menyebut, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Bagi sasterawan, nama tidak ditinggalkan melalui pangkat, gelaran atau kerusi kuasa. Nama ditinggalkan melalui keberanian menulis, mengolah karya dan menerbitkannya untuk berkongsi rasa, ketika orang lain memilih diam.
Melawan bukan bererti membenci
Perkataan “melawan” sering disalah faham seolah-olah ia sinonim dengan kebencian. Sedangkan dalam tradisi intelektual, melawan ialah bentuk kasih yang paling jujur. Seorang doktor melawan penyakit kerana mahu menyelamatkan pesakit. Seorang guru melawan kejahilan kerana mahu menyelamatkan generasi. Seorang pemimpin melawan kemiskinan kerana janjinya pada peladang dan petani. Seorang sasterawan melawan ketidakadilan kerana mahu menyelamatkan kemanusiaan sekali gus watan.
Dalam The Republic, Plato menggambarkan penyair sebagai makhluk yang memiliki kuasa membentuk jiwa masyarakat. Aristotle dalam Poetics pula melihat tragedi sebagai jalan menuju catharsis, penyucian emosi dan kesedaran. Ertinya, sastera bukan sekadar hiburan; sastera ialah proses pembentukan manusia; khasnya mental.
Shahnon Ahmad pernah mengingatkan bahawa kesasterawanan terangkum dalam empat unsur: kepolitikan, kealaman, kedirian dan kemanusiaan. Empat unsur itu tidak pernah hidup secara berasingan. Apabila bahasa dilukai, kemanusiaan turut berdarah. Apabila keadilan dicederakan, kepolitikan menjadi pincang. Apabila alam dimusnahkan, kedirian manusia turut runtuh.
Sasterawan yang tidak melawan, penulis yang bersenang-senang di buaian penulisan, dan karyawan asyik-masyhuk dengan sayembara dan pementasan ketika semua unsur itu sedang digugat ‘ibarat nakhoda yang memilih tidur ketika kapal mula dimasuki air’.
Keranda 152 dan ingatan yang tak padam
Sejarah sastera Melayu bukan sejarah yang pasif. Demonstrasi Keranda 152 pada 1967 bukan sekadar protes bahasa; ia ialah deklarasi bahawa bahasa Melayu bukan barang gadaian politik. Penentangan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pula memperlihatkan bagaimana para sasterawan negara sanggup mempertaruhkan reputasi demi mempertahankan bahasa sebagai wahana ilmu. Mereka memahami sesuatu yang sering gagal difahami oleh birokrat: bahasa bukan sekadar alat komunikasi; bahasa ialah rumah tamadun.
Kesepakatan dan tindakan A Samad Said, Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, S Othman Kelantan, Noordin Hassan, Abdullah Hussain dan kemudian Anwar Ridhwan tidak sedang mempertahankan nostalgia. Mereka sedang mempertahankan masa depan. Kesusasteraan mesti terbang dengan sayap kebenaran, berenang dengan ridip keberanian dan melangkah dengan tunjang kebangsaan.
Ngugi wa Thiong’o dalam Decolonising the Mind menegaskan bahawa penjajahan paling halus ialah penjajahan bahasa, kerana apabila bahasa dijajah, cara berfikir juga dijajah. Milan Kundera dalam The Book of Laughter and Forgetting mengingatkan bahawa kuasa sering bermula dengan mengawal ingatan. Bahasa ialah arkib ingatan sesuatu bangsa. Bahasa yang dibiarkan liar leluasa akan pudar dan binasa.
Firman Allah SWT, “Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah penciptaan langit dan bumi serta perbezaan bahasa-bahasa kamu dan warna kulit kamu.” (Surah al-Rum, 30:22).
Ayat ini mengangkat bahasa sebagai tanda kebesaran Tuhan, bukan sekadar instrumen pentadbiran.
Sasterawan dan Palestin: Dari simpati ke tindakan
Muhaimin Sulam menggesa agar sasterawan Malaysia tidak berhenti pada puisi Palestin yang hanya bergema di dewan kecil dan festival tertutup. Seruan itu wajar direnungi dengan jujur. Tidak wajar sesiapa menumpang mengangkat nama kendiri hasil daripada perjuangan tersebut.
Di dunia, nama-nama tersohor seperti Arundhati Roy, Naomi Klein, Sally Rooney, Jhumpa Lahiri, Wole Soyinka, Orhan Pamuk, José Saramago, Toni Morrison, Nadine Gordimer dan Derek Walcott menunjukkan bahawa sasterawan boleh menjadi suara moral yang melampaui sempadan negara:
Mereka tidak hanya menulis novel.
Mereka menulis kehadiran.
Mereka menulis sikap.
Mereka menulis keberanian.
Namun keberanian juga memerlukan kebijaksanaan. Dalam The Art of War, Sun Tzu mengingatkan bahawa kemenangan tidak semestinya datang melalui serangan paling kuat, tetapi melalui strategi yang paling tepat. Sasterawan tidak perlu meniru bentuk perjuangan orang lain. Yang perlu ditiru ialah keteguhan nurani dan konsistensi.
Puisi, esei, novel, teater, filem, muzik, festival buku, penterjemahan karya Palestin, dana penulis, jaringan universiti, diplomasi budaya, semuanya boleh menjadi medan perlawanan yang bermaruah.
Melawan lupa, bukan mencipta benci
Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lidahnya; jika tidak mampu, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim, no. 49)
Hadis ini bukan lesen untuk kebencian. Ia ialah seruan kepada tanggungjawab moral.
Sasterawan tidak semestinya menjadi aktivis jalanan. Tidak semua pena perlu menjadi slogan. Tidak semua puisi perlu menjadi manifesto. Tetapi setiap karya yang lahir daripada nurani yang jujur akan tetap menjadi bentuk penentangan terhadap kezaliman, penindasan dan pemalsuan sejarah.
Usman Awang mengajarkan kemanusiaan melalui kesederhanaan. Chairil Anwar mengajarkan keberanian melalui ledakan individualisme. Pramoedya Ananta Toer menunjukkan bahawa penjara boleh mengurung tubuh, tetapi tidak dapat memenjarakan imaginasi. Gabriel García Márquez memperlihatkan bahawa realisme magis mampu mendedahkan kekejaman politik lebih tajam daripada laporan rasmi. Albert Camus dalam The Rebel menegaskan bahawa pemberontakan yang bermaruah lahir daripada cinta terhadap manusia, bukan kebencian terhadap manusia.
Di sinilah beza antara melawan dan memusnahkan. Dan merusuh dalam karya bukan bermusuh dengan sesiapa di alam nyata. Kita percaya, pembaca sudah cukup matang mencerna dan menghadamkan idea dan pandangan penulis secara profesional.
Institusi sastera juga perlu bermuhasabah
Namun kita juga perlu jujur terhadap diri sendiri. Institusi sastera tidak boleh sekadar menganjurkan seminar, malam puisi dan pelancaran buku, tetapi sunyi apabila masyarakat berdepan krisis nilai, bahasa, pendidikan dan kemanusiaan.
Sasterawan negara bukan sekadar gelaran. Ia amanah sejarah. Segala hasil karya mereka berbumbungkan perjuangan; berjuang menebus maruah bangsa daripada penjajahan, berjuang meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga dan bangsa, dan berjuang melawan kebobrokan urus tadbir dan sang koruptor. Ironinya, ‘sepuluh jong berlalu, anjing masih bercawat ekor’.
Dewan Bahasa dan Pustaka, universiti, persatuan penulis, penerbit dan media perlu membina ekosistem yang membolehkan sasterawan menjadi suara awam, bukan sekadar penghias acara rasmi atau menerbitkan jurnal dan antologi. Kursus-kursus penulisan wajar menyuntik serum perjuangan di jiwa penulis-penulis pemula dan penulis-penulis muda.
Peribahasa “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” tidak boleh menjadi budaya dunia sastera. Yang diperlukan ialah jaringan solidariti yang merentas generasi, negeri, ideologi dan latar bahasa.
Firman Allah SWT, “Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan, dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah, 5:2).
Ayat ini memberi kerangka bahawa perjuangan bahasa, budaya dan kemanusiaan mestilah berakar pada kebajikan, bukan permusuhan.
Pena yang tak takut pada bayang-bayang
Akhirnya, sasterawan tidak ditanya oleh sejarah berapa banyak anugerah yang dimenanginya, tetapi berapa banyak kebenaran yang berani ditanggungnya. Demikian pemuka persatuan, tidak menyepi diri pada kemungkaran dan penindasan terhadap komuniti dan rakyat. Jangan kerana mendapat habuan bantuan penerbitan buku-buku daripada pihak berkuasa, mereka senyap ibarat ‘mulut disumbat pisang, punggung cocok onak’.
Bangsa memerlukan sasterawan yang sanggup mengingatkan ketika orang ramai sedang lupa, sanggup bertanya ketika semua orang sedang bersorak, dan sanggup berdiri ketika yang lain memilih duduk. Kerana apabila pena berhenti melawan, yang tinggal hanyalah tinta tanpa jiwa.
Dan apabila sasterawan memilih selesa daripada benar, bangsa akan kehilangan bukan sekadar penyair, tetapi penjaga nuraninya. Sastera mesti berani bangkit dengan suatu falsafah baharu ‘tajam pada hujah, tinggi pada adab, dan teguh pada fakta’.
RAMLEE WAHAB adalah penggiat seni serta pemenang pelbagai anugerah sastera. Beliau juga bekas pemimpin akar umbi Bersatu Johor tetapi kini memilih Parti Wawasan Negara sebagai wadah baharu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

