Satu mayat yang belum dikenal pasti identiti dan jantina ditemukan di dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang, pagi ini.
Mayat itu ditemukan kira-kira 6.55 pagi oleh pekerja kejuruteraan yang ditugaskan membuka ruang simpanan tayar pesawat berkenaan yang tiba dari Tokyo, Jepun, kira-kira 6.30 pagi.
Bernama difahamkan pekerja terbabit terhidu bau busuk sebelum membuka ruang itu dan menemukan mayat berkenaan, sebelum memaklumkannya kepada Bilik Gerakan Balai Polis KLIA Terminal 2.
Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian ke lokasi penemuan bagi menjalankan siasatan dan mendapati mangsa dipercayai berusia lingkungan 20-an serta telah meninggal dunia lebih 72 jam.
Polis belum memberikan maklumat lanjut berhubung kes itu dan usaha mendapatkan perkembangan terkini sedang dijalankan.
- Bernama

