Enam Adun Pakatan Harapan (PH) hari ini mempersoalkan jika kerajaan Negeri Sembilan mahu mereka akan meminta rakyat memulangkan semula dana yang telah disalurkan untuk manfaat mereka.
Tindakan ini menyusul pengumuman Menteri Besar Ismail Lasim semalam yang mengarahkan 17 Adun dan bekas dan bekas Adun, serta dua penyelaras DUN, untuk memulangkan peruntukan mereka bagi bulan Julai hingga September.
Dalam satu sidang media, Adun Nilai J Arul Kumar berkata kebanyakan mereka telah pun membelanjakan peruntukan pendahuluan yang diterima pada bulan Jun dengan menyalurkan dana tersebut melalui pelbagai saluran.

Manakala mereka yang belum menghabiskan peruntukan kawasan DUN sehingga 30 Jun telah pun memulangkan baki yang tidak digunakan kepada perbendaharaan negeri seperti yang ditetapkan, tambahnya.
"Isunya sekarang adalah duit yang kita dah bagi pada rakyat, bukan pada sendiri. Kita bagi pada rakyat melalui persatuan, melalui keperluan individu, dalam tempoh kita dibenarkan.
"Sekarang minta balik itu duit, macam mana kita nak minta balik daripada penerima tersebut?
"Ini satu yang kita harap kerajaan negeri dapat melihat kembali," kata Arul yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu pada sidang media di Seremban pagi tadi.
Lima lagi yang hadir bersama ialah Yew Boon Lye, Nicole Tan Lee Koon, Siau Meow Kong, Choo Ken Hwa, Chew Seh Yong dan G Rajasekaran.
Bukan jumlah kecil
Pada sidang media semalam, Ismail berkata kesemua 17 Adun PH, termasuk enam yang kalah pada pilihan raya negeri, lalu serta dua penyelaras kawasan DUN, perlu memulangkan peruntukan bulan Julai hingga September mereka dalam tempoh sebulan.

Menurut laporan Bernama, menteri besar itu berkata pembayaran balik itu diperlukan kerana mereka tidak lagi menjalankan sebarang fungsi rasmi berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 5 Jun.
Peruntukan tersebut, yang merangkumi dana untuk pusat khidmat dan kebajikan awam, dilaporkan telah disalurkan kepada wakil rakyat negeri dan penyelaras DUN Paroi serta Labu.
Setiap wakil rakyat kini diperintahkan untuk memulangkan RM174,000, manakala setiap penyelaras mesti membayar balik RM150,000.
Pada sidang media, hari ini, Arul berkata, bahawa jumlah itu bukan satu perkara kecil untuk dikeluarkan.
Dia menegaskan bahawa Adun PH telah mengagihkan peruntukan itu untuk membantu rakyat dan menafikan dakwaan bahawa dana tersebut digunakan untuk tujuan politik.
Wakil-wakil rakyat itu turut menegaskan bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan kerana peruntukan itu telah diluluskan secara sah oleh mesyuarat exco kerajaan negeri Negeri Sembilan pada 3 Jun yang diterajui oleh menteri besar ketika itu, Aminuddin Harun.
Menurut Arul, adalah perkara biasa bagi Adun untuk memohon pejabat menteri besar menyalurkan peruntukan suku tahunan mereka lebih awal, seperti yang berlaku dalam kes ini.
Arul, yang merupakan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri ketika itu, mendakwa mereka juga tidak tahu bila DUN dibubarkan semasa meluluskan peruntukan tersebut.
Dia berkata tiada arahan yang menghalang Adun daripada menggunakan peruntukan kawasan masing-masing selepas DUN dibubarkan, dan tidak spesifik berapa banyak yang boleh digunakan setiap bulan.

"Kalau ada kata selepas bubar DUN tak boleh belanja, kita akan berhenti. Tapi apabila kita tidak dimaklumkan dan ada surat yang kita benarkan untuk dibelanjakan, sebab itu kita belanja. Dan selepas 30 Jun kata tak boleh belanja, kita patuh. Walaupun penamaan calon adalah 18 Julai, tetapi saya pasti yakin tidak ada sesiapa pun yang belanjakan selepas 30 Jun 2026.
"Untuk makluman semua juga, saya telah semak, 17 Adun dan dua penyelaras telah pun menghantar semua laporan kewangan sehingga 30 Jun 2026 dan sesiapa yang ada baki, semuanya telah dipulangkan.
"Dan ikut keputusan sidang media semalam, mereka telah pun minta supaya kita memulangkan duit ikut bulan. Dalam mana-mana surat yang kita terima sebelum ini, setiap peruntukan itu disalurkan ikut suku. Kalau ikut suku, dalam mana-mana surat tidak menyatakan setiap bulan boleh pakai satu amaun itu sahaja," kata Arul.
Dia merujuk kepada surat daripada pejabat Aminuddin yang mengarahkan Adun supaya menghentikan perbelanjaan peruntukan kawasan mereka selepas 30 Jun dan menyerahkan laporan akaun pusat khidmat masing-masing, serta memulangkan sebarang baki kepada negeri menjelang 10 Julai.

