Seorang pegawai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tampil mengingatkan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Noor, bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disertai PAS pernah memberi talian hayat kepada perjudian nombor ekor di negara.
Tanpa berselindung, Setiausaha Akhbar Kanan, Tunku Nashrul Abaidah, menuduh pemimpin PAS itu "bermuka-muka dan berpura-pura suci” dalam isu yang jelas mencerminkan kemunafikan politiknya.

“Realitinya, ketika PAS berada dalam kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai partinya meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
“Sebaliknya, Anwar sebagai perdana menteri dan menteri kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan atas kapasiti sebagai Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah.
Tunku Nashrul berkata percubaan Sanusi untuk mengelirukan orang ramai dengan mengheret pihak yang tidak berkaitan demi menutup kelemahan sendiri adalah sesuatu yang memalukan.
“Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan perdana menteri sebagai sasaran,” katanya lagi.
Kementerian itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang turut mengecam PN kerana meluluskan 22 cabutan khas, sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibatalkan apabila Anwar memegang kuasa.
22 cabutan khas di bawah kerajaan PN itu diluluskan oleh menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz - yang kini merupakan orang kepercayaan utama Anwar.
Tunku Nashrul mengulas amaran Sanusi bahawa Anwar akan dimaki oleh rakyat Kedah jika dia membenarkan aktiviti perjudian disambung semula.
Henti bersandiwara, kata DAP

Sanusi turut menerima kritikan daripada anggota Parlimen DAP, Ramkarpal Singh, selepas secara sinis menjemput ahli Parlimen Bukit Gelugor itu untuk memberi ceramah kepada umat Islam mengenai keburukan judi.
Mendesaknya supaya "berhenti bermain wayang", Ramkarpal berkata menteri besar itu mempunyai akses kepada seluruh jentera kerajaan negeri untuk mendidik masyarakat tentang bahaya judi dan memperketat langkah penguatkuasaan.
"Jika Sanusi percaya wujud masalah perjudian yang serius di Kedah, dia sepatutnya memberitahu orang ramai apa yang kerajaannya lakukan untuk mengatasinya, bukannya meminta anggota Parlimen DAP melakukan tugasnya," katanya dalam satu kenyataan.

Ramkarpal menegaskan, sama ada Sanusi suka atau tidak, dia perlu menerima keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan. Keputusan itu mendapati dasar Kedah yang enggan memperbaharui lesen perniagaan berkaitan perjudian adalah tidak berlembaga an kerana melampaui bidang kuasa persekutuan.
Keputusan berkenaan mengakhiri usaha undang-undang kerajaan Kedah untuk menguatkuasakan larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di negeri tersebut.
Ramkarpal berkata kenyataan Sanusi bahawa "bola kini di padang menteri kewangan" mengesahkan pengakuannya bahawa kawal selia dan pelesenan aktiviti perjudian terletak di bawah bidang kuasa persekutuan, seperti yang diputuskan oleh mahkamah.
"Selepas mengakui perkara itu di bawah bidang kuasa persekutuan, dia tidak boleh mencari jalan untuk menembusi atau mengatasi kuasa persekutuan itu.

"Sanusi perlu menghormati mahkamah kerana bukan urusannya untuk mempertikaikan kebijaksanaan keputusan mahkamah, terutamanya apabila keputusan itu adalah muktamad. Mengingkari keputusan sedemikian boleh dianggap sebagai menghina mahkamah," katanya.

