Pemuda PKR (AMK) menyifatkan bahasa kesat dikeluarkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor ketika mengulas isu premis judi adalah penghinaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Persekutuan.
Naib ketuanya, Dr Taufiq Johari, berkata walaupun umat Islam sememangnya menolak amalan perjudian, isu berkaitan bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan perlu ditangani berdasarkan lunas undang-undang.
“Namun, AMK amat kesal dengan laras bahasa kesat seperti ‘celaka’ dan pelaq yang digunakan oleh Menteri Besar Kedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Taufiq berkata demikian susulan ucapan Sanusi di Alor Setar pada Selasa ketika berceramah dan dia menyentuh isu pertikaian lesen premis judi di Kedah yang sudah diputuskan oleh mahkamah tertinggi dalam negara ini.
Dalam ceramah itu Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN dan PAS dilaporkan memberi amaran, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan dimaki rakyat Kedah jika membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu.
Dia turut menggunakan ungkapan “celaka” dan “pelaq” terhadap Anwar.
Mengulas lanjut Taufiq berkata, tindakan Sanusi yang itu tidak boleh dilihat sekadar serangan terhadap batang tubuh Anwar selaku perdana menteri, sebaliknya lebih luas.
Dia yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berpendapat kritikan itu turut terarah kepada Mahkamah Persekutuan yang telah memuktamadkan sempadan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Kena berlandaskan fakta
Taufiq turut menegaskan Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkenaan dengan mentafsir perlembagaan negara tanpa campur tangan badan eksekutif
“Justeru, isu perundangan ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik murahan untuk menunggang sentimen dan emosi rakyat di pentas ceramah,” katanya.
Tambah Taufiq jika kerajaan negeri benar-benar mahu menyelesaikan isu judi, Sanusi wajar meminta Penasihat Undang-Undang Kedah menyemak semula aspek sempadan bidang kuasa dan perundangan melalui saluran yang sah.
Dia juga turut menggesa Sanusi menunjukkan teladan dengan menolak budaya politik maki hamun di hadapan khalayak sesuai dengan nama partinya yang membawa nama Islam.
Tugas pembangkang, kata menteri belia dan sukan itu, memang boleh mengkritik dan menjadi mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan.
Pun begitu, kata Taufiq lagi, ia perlu dilakukan berlandaskan fakta, dasar dan kewarasan, bukannya emosi serta caci maki yang menghina institusi mahkamah dan perlembagaan negara.
Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini melaksanakan larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri mulai 2023.
Bagaimanapun pengusaha kedai judi mencabar ketetapan berkenaan dan merujuknya ke mahkamah.
Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa dasar kerajaan negeri untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian melanggar Perlembagaan kerana menceroboh bidang kuasa Persekutuan.
Keputusan itu sekali gus menamatkan usaha perundangan kerajaan Kedah untuk menguatkuasakan larangan tersebut.
Sanusi kemudian berkata keputusan mengenai sama ada aktiviti perjudian boleh diteruskan kini berada pada Anwar yang juga Menteri Kewangan.

