Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
lsmail Sabri, 66, tiba pada jam 8.32 pagi dengan diiringi pegawainya.
Pengamal media dan penyokong dilihat berada di pekarangan kompleks mahkamah seawal jam 7 pagi.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes Ismail Sabri akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin pada jam 9 pagi.
Ahli Parlimen Bera itu akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan harta.
Ismail Sabri sepatutnya didakwa pada 7 Ogos lalu namun prosiding ditangguhkan ke hari ini selepas dia dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.
Suzana menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan selepas peguam Amer Hamzah Arshad memohon penangguhan berikutan Ismail Sabri mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata (possible arrhythmia) dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure).
Amer Hamzah berkata anak guamnya mengalami masalah jantung ketika rakaman percakapan dengan SPRM pada 6 Ogos.
Sebelum ini, perdana menteri kesembilan Malaysia itu dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kg jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Feb 2025.
- Bernama

