malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adun PH N Sembilan penggal lalu diarah kembalikan peruntukan
Diterbitkan:  Aug 26, 2026 8:00 PM
Dikemaskini: 2:12 PM
ADS

Seramai 17 Adun PH Negeri Sembilan – termasuk enam yang kehilangan kerusi mereka dalam PRN pada 1 Ogos lalu – serta dua penyelaras kawasan pilihan raya diarahkan untuk memulangkan peruntukan yang diterima untuk tempoh antara Julai hingga Sept ini.

Mereka diberikan tempoh selama sebulan untuk berbuat demikian.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, Bernama melaporkan mereka diarah untuk membuat pembayaran balik kerana tidak lagi memegang sebarang fungsi rasmi susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Peruntukan tersebut diluluskan pada mesyuarat exco yang berlangsung pada 3 Jun diagihkan ke akaun Adun dan penyelaras terbabit sehari kemudian.

Peruntukan tersebut, yang terdiri daripada dana untuk pusat khidmat dan kebajikan awam, dilaporkan disalurkan kepada wakil rakyat dan penyelaras bagi kawasan DUN Paroi dan Labu.

Setiap mereka kini diarahkan memulangkan RM174,000 manakala penyelaras dikehendaki membayar RM150,000.

“Bagaimanapun, ahli exco pada masa itu, termasuk bekas menteri besar Aminuddin Harun, mengekalkan status ex-officio mereka sehingga 31 Julai dan layak menggunakan peruntukan untuk bulan tersebut,” kata Ismail kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco.

Ismail berkata bekas exco telah menerima peruntukan RM225,000 untuk tempoh tiga bulan, tetapi hanya perlu memulangkan RM150,000 untuk Ogos dan Sept.

Tambahnya, bahawa pejabat menteri besar akan mengeluarkan surat yang menuntut pemulangan peruntukan tersebut tidak lama lagi.

Peruntukan untuk 17 kawasan

Terdahulu Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital, Mohd Asna Amin, memaklumkan melalui media sosial mengenai keputusan kerajaan negeri terkait peruntukan berkenaan.

Dia yang juga Adun Lenggeng berkata, Adun PH terbabit tidak lagi berhak menggunakan peruntukan kerajaan untuk kebajikan kawasan pilihan raya selepas DUN dibubarkan.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan segala penggunaan peruntukan kerajaan adalah selaras dengan kedudukan dan status semasa selepas pembubaran DUN serta bagi menjaga ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri," katanya.

Tambah Mohd Asna, keputusan tersebut juga merupakan kesinambungan daripada isu surat bekas exco pelancongan, seni dan budaya negeri, Nicole Tan yang pernah menjadi perhatian serta tular sebelum ini.

Pada 30 Jun lalu, dua wakil Urimai Negeri Sembilan memfailkan laporan kepada SPRM dengan dakwaan berlaku salah guna kuasa dan penyalahgunaan dana awam yang melibatkan RM3.06 juta peruntukan negeri yang diagihkan sejurus sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Aminuddin Harun

Sarawanan Nagayah dan Mahendran Ramasamy berkata dana tersebut disalurkan kepada 17 kawasan pilihan raya dan jumlah itu menyamai bilangan kerusi yang dipegang oleh PH di Negeri Sembilan sebelum ini.

“Sehari sebelum pembubaran… pejabat menteri besar Negeri Sembilan mengeluarkan surat rasmi yang memaklumkan bahawa sejumlah RM180,000 telah dipindahkan melalui pemindahan dana elektronik kepada seorang ahli dewan undangan negeri,” kata mereka.

Berdasarkan peruntukan RM180,000 bagi setiap kawasan pilihan raya yang disebut dalam surat itu, jumlah keseluruhan bagi 17 kawasan pilihan raya akan berjumlah RM3.06 juta.

Berdasarkan surat itu, dakwa mereka, dana berkenaan adalah untuk kebajikan pengundi bagi tempoh dari Julai hingga Sept namun ia dipercayai ada kaitan dengan dana bagi menghadapi PRN di Negeri Sembilan.

Kedua-duanya turut berkongsi gambar surat yang didakwa ditandatangani oleh Azmi Abdul Manap, setiausaha sulit kanan kepada Aminuddin Harun, yang merupakan menteri besar sementara pada masa itu.

Seminggu kemudian, pegawai khas Tan, Ng Wai Yee, membuat laporan polis selepas satu catatan media sosial menuduh Tan dan Aminuddin menyalahgunakan RM180,000 dana negeri.

Dalam PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 1 Ogos lalu, penguasaan PH di dalam DUN merosot, daripada 17 kerusi kepada 11 kerusi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen