Sekumpulan pemimpin dan anggota akar umbi DAP tampil menegur wakil rakyatnya, RSN Rayer, kerana mempertahankan sebuah kuil Hindu di Perlis yang dirobohkan pihak berkuasa negeri pada Khamis lalu.
Mereka berkata perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik adalah perlu dan amat digalakkan demi kesejahteraan bersama, namun tidak harus dijadikan alasan untuk menggalakkan pelanggaran undang-undang.
“Seseorang pemimpin yang bertanggungjawab wajar mendidik masyarakat berkenaan sesuatu isu yang timbul jika ianya terkait dengan perlanggaran undang-undang dan bukan mempertahankannya.
“Pemimpin mesti menyemak fakta dan mengambil pendirian yang tidak berpihak jika ada kepentingan masyarakat yang dilihat menyalahi perundangan negara.
“Tiada siapa yang 'above the law' (tidak tertakluk kepada undang-undang), tidak terkecuali pemimpin besar negara, kerana itu adalah panduan setiap warga Malaysia.
“Kita harus konsisten dalam hal ini dan tidak sepatutnya mengamalkan sikap dwipiawaian,” kata kenyataan yang ditandatangani 14 individu itu, hari ini.
Antara yang menandatangani kenyataan itu ialah Timbalan Ketua Pemuda DAP Selangor Nur Rahim Nasir; pemimpin cawangan DAP Shakir Ameer Mohideen (Setia Impian); Farhan Haziq (Bandar Baru Bangi); Abdul Majid Abd Aziz (Pekan Paloh); Nor Miswary Ramli (Pusat Bandar Shah Alam); Izzul Afir (Taman Kemuncak); Aslam Ahmad Ramli (Kampung Tunku SS1) dan Aldrin Ng (Kampung Baru Pasir Pinji), serta bekas Adun Dusun Tua, Edry Faizal.
Walaupun tidak menamakan Rayer, beberapa penandatangan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa ia berkaitan dengan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong itu.
Mereka berkata, kenyataan yang dibuat secara melulu boleh menimbulkan kekeliruan, selain menyampaikan mesej yang seolah-olah mempertahankan kegiatan menceroboh tanah atas nama agama, yang berbahaya kepada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Malaysiakini telah menghubungi Rayer untuk mendapatkan ulasannya.
Terdahulu, Rayer mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Perlis kerana merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar.
Rayer menyifatkan tindakan itu sebagai amat dikesali dan memberi amaran bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya membenarkan PN mengambil alih kuasa di peringkat persekutuan, dengan menyifatkan gabungan itu sebagai “tidak sensitif dan tidak bertimbang rasa terhadap masyarakat majmuk, kumpulan etnik lain dan agama”.
Kerajaan Perlis kemudiannya mempertahankan tindakannya dengan mengatakan kuil itu dibina di atas tanah kerajaan tanpa permit.
Kenyataan Rayer turut mendapat kritikan daripada tokoh politik dalam PH dan sekutunya di peringkat persekutuan iaitu Umno.
‘Kalau salah, katakan salah’
Sementara itu, Edry ketika dihubungi berkata ahli politik bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan dan menjelaskan perkara sebenar, bukannya mengutamakan populariti.
Katanya, pemimpin perlu berpegang kepada kebenaran dan menyatakan sesuatu perkara sebagaimana adanya.
“Jika sesuatu itu salah, kita mesti katakan salah. Tetapi pada masa sama, kita menyeru supaya usaha dilakukan untuk mencapai penyelesaian secara baik.
“Tetapi kadang-kala kita tidak mendengar kenyataan sedemikian. Sebagai contoh, dalam isu pencerobohan tanah, tiada kenyataan yang menyebut ia salah, sebaliknya hanya menyeru supaya ia diselesaikan dengan baik.
“Jika sesuatu itu melanggar undang-undang, kita mesti katakan ia melanggar undang-undang,” kata Edry kepada Malaysiakini.
Bekas wakil rakyat itu berkata pendekatan berat sebelah sedemikian menyebabkan ramai mengecam pihak berkuasa apabila mereka mengambil tindakan terhadap pembinaan dan pengubahsuaian bangunan kediaman yang menyalahi undang-undang.
Tegasnya, prinsip menegakkan undang-undang terpakai kepada semua pihak dan dalam semua keadaan, bukan hanya apabila ia melibatkan rumah ibadat.
Dia memberikan contoh kes baru-baru ini apabila sebuah parti politik mempertahankan sebuah gerai yang didakwa dibina secara haram daripada dirobohkan pihak berkuasa.
“Jika kita sentiasa mahu berpolitik, bagaimana kita nak mendidik rakyat tentang apa yang betul dan apa yang salah?” soal Edry.

