Bau asam pedas Melaka memenuhi ruang belakang Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang pagi ini.
Anggota parlimennya Rodziah Ismail berdiri di hadapan periuk, sesekali mengacau masakan sambil memberi arahan kepada mereka yang membantunya.
Di tengah kesibukan menyediakan ratusan bekas makanan, Rodziah sempat berseloroh mengenai masakannya.
“Kalau Khairul Aming ada Rembayung, kita Rembawanglah,” katanya sambil ketawa.
Rodziah kini seorang peniaga asam pedas selepas mendakwa pusat khidmatnya tidak lagi dibenarkan mengakses sistem MyKhas yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Setiap bekas asam pedas itu dijual dengan harga RM10 dan hasilnya akan disalurkan semula untuk membantu penduduk Ampang yang memerlukan.

Rodziah sendiri mengakui percubaan memasak dalam jumlah besar itu jauh berbeza daripada rutin di rumah.
“Saya bukan chef. Saya masak untuk keluarga. Biasanya buat untuk paling tinggi dalam 30, 40 orang makan.
“Hari ini kita buat beratus,” katanya yang dikaitkan dengan parti serpihan PKR, Parti Bersama Malaysia yang diasaskan oleh bekas orang kuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli.
Pada hari pertama–hari ini–kira-kira 500 pek disasarkan.
Resipi mak
Asam pedas itu bukan resipi yang baru dicipta untuk tujuan jualan.
Rodziah berkata ia resipi turun-temurun daripada ibunya dan mula mendapat perhatian ketika dia menyediakan hidangan itu dalam program korban sepanjang hampir empat penggal menjadi wakil rakyat.
“Setiap kali korban, kita ada daging-daging. Jadi pernah datang satu masa tu saya kata, apa kata kita masak asam pedas.
“Dari situlah saya rasa. ramai yang suka dan ramai juga puji, ‘YB, sedaplah asam pedas ni’,” katanya kepada Malaysiakini.

Apabila berdepan kekangan kewangan ketika ini, Rodziah berkata dia mula memikirkan sesuatu yang boleh dilakukannya tanpa terlalu mengambil masa, tetapi pada masa sama mampu melibatkan orang ramai.
“Jadi saya fikir mungkin ramai suka asam pedas saya. Ini masanya saya kongsikan asam pedas dengan orang lain,” katanya.
Malah, dia sempat “mempromosikan” versatiliti hidangan itu.
“Asam pedas ni sangat istimewa. Kamu boleh makan dengan lempeng, roti, apa saja yang kamu suka. Terpulang pada kamu,” katanya.
Beli ikan dan cili, sayur pula disumbang
Usaha itu juga tidak digerakkan Rodziah seorang diri.
Dia berkata sebahagian bahan seperti cili, bawang dan ikan dibeli, manakala sayur-sayuran serta beberapa keperluan lain diperoleh daripada penyumbang.
Antaranya termasuk timun dan kubis, selain beras yang diperoleh pada harga lebih rendah.
Bagi Rodziah, setiap ringgit yang dapat dijimatkan daripada kos menyediakan makanan bermakna lebih banyak wang boleh disalurkan kepada penduduk.

“Bila kos itu tidak tinggi, maka saya dapatlah nanti lebihan banyak untuk saya bagikan kepada rakyat.
“Bagi mereka yang nak menyumbang untuk menu asam pedas, saya alu-alukan kerana saya perlukan beras, saya perlukan sayur,” katanya.
Malah, apa yang menemani asam pedas pada minggu berikutnya boleh bergantung kepada hasil sumbangan.
Kalau ada bendi, katanya, bendi akan dimasukkan. Kalau ada terung, terung pula akan menyertai hidangan.
Beli 100 pek, tapi tak makan satu pun
Antara tempahan yang paling mencuri perhatian Rodziah datang daripada seorang individu yang membeli 100 pek sekali gus.
Bukan untuk dibawa pulang.
“Dia beli 100 terus dan dia kata, ‘YB, saya tak termakan benda ni. YB sumbangkan ke Klinik Kesihatan Ampang’.
“Jadi insya-Allah untuk semua frontliners kita di Klinik Kesihatan Ampang, kami akan hantar selepas sembahyang Zuhur,” katanya.
Rodziah berkata hasil jualan dan tempahan awal ketika itu sudah mencecah kira-kira RM5,000.
Bila asam pedas jadi tabung rakyat
Di sebalik suasana santai dan gurauan di dapur, jualan berkenaan mempunyai tujuan yang lebih serius.
Ia merupakan subprojek pertama Projek Amal Rakyat, yang dilancarkan Rodziah sebagai respons kepada pembekuan peruntukan kawasannya sebagai anggota parlimen yang berkuat kuasa sejak 29 Julai lalu.
Rodziah berkata wang hasil jualan dan sumbangan akan digunakan untuk membantu penduduk yang telah mengemukakan permohonan kepada pusat khidmatnya sebelum ini.
“Sebab masa itu saya beranggapan peruntukan ada. Jadi sepatutnya dah boleh diagih.
“Kita akan tutup akaun setiap minggu, tengok berapa sumbangan kita dapat dan saya akan umumkan berapa banyak individu yang boleh saya bantu,” katanya.
Menurut kenyataan medianya, pusat khidmat itu mempunyai kira-kira RM300,000 permohonan bantuan yang masih memerlukan dana.
Ia melibatkan RM40,000 bagi kesihatan dan perubatan, RM60,000 bagi pendidikan, RM50,000 bagi kebajikan dan kesejahteraan serta RM150,000 bagi program sosioekonomi dan kemasyarakatan.
Projek Amal Rakyat menyasarkan untuk mengumpulkan RM300,000 itu dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Sebelum ini, kata Rodziah, pusat khidmatnya menerima kira-kira RM400,000 setiap tiga bulan.
Dia sedar jualan asam pedas mungkin tidak mampu menggantikan jumlah itu sepenuhnya.
“Tapi kalau saya tidak dapat jumlah itu, kita akan cuba sesuaikan.
“Yang penting, kita faham mereka yang datang ke sini memang perlukan sangat kewangan segera, kita bantu,” katanya.
Usaha mengisi kekurangan dana itu bermula dengan sesuatu yang cukup sederhana. Resipi seorang ibu, sebuah periuk besar dan ratusan bekas asam pedas RM10 dari Ampang.

