malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengerusi kuil Dengkil bebas pertuduhan menceroboh
Diterbitkan:  Aug 5, 2026 1:33 PM
Dikemaskini: 8:58 AM
ADS

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman di Dengkil, Selangor, yang terlibat dalam pertikaian tanah, daripada pertuduhan menceroboh tanah persendirian secara jenayah.

Hakim Hazlina Hussain membatalkan pertuduhan terhadap M Paramaguru, 49, yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang pada 9 Feb.

Menurut peguam Paramaguru, hakim mendapati kertas pertuduhan gagal membuktikan dia mempunyai niat yang jelas untuk melakukan jenayah.

Hakim turut memutuskan bahawa meneruskan perbicaraan penuh hanya membazirkan masa kerana pertuduhan itu mengandungi kecacatan kekal yang tidak boleh diperbaiki.

Paramaguru diwakili peguam Latheefa Koya dan Rajesh Nagarajan, manakala timbalan pendakwa raya Heikal Ismail bertindak bagi pihak pendakwaan.

Paramaguru selaku perayu memfailkan permohonan itu pada 25 Mac lepas atas alasan pertuduhan berkenaan adalah cacat dan tidak boleh dikekalkan kerana ia gagal menyatakan dan memperincikan unsur penting bagi kesalahan yang didakwa iaitu mens rea yang khusus. 

Ia termasuk kegagalan pendakwaan untuk menyatakan bahawa kemasukan ke tanah berkenaan dilakukan dengan niat untuk melakukan suatu kesalahan atau mengugut, menghina atau mengganggu orang yang mempunyai milikan terhadap harta tersebut. 

Menurut permohonan itu, walaupun pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, ia tidak mendedahkan apa-apa kesalahan yang diketahui di sisi undang-undang.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Paramaguru dituduh menceroboh secara jenayah kerana didakwa memasuki tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenaran pada 4.45 petang, 19 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Pertikaian kuil masih belum selesai

Beberapa minggu selepas Paramaguru memohon dibicarakan, kuil berkenaan menjadi sasaran serangan dan dibakar secara sengaja di siang hari.

Suhaili, yang memiliki tanah tapak kuil itu didirikan, s ebelum ini menafikan kewujudan struktur kuil di lokasi berkenaan semasa dia membeli hartanah itu.

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa hanya sebuah "kuil beroda" diletakkan di situ tanpa sebarang struktur kekal di atas tanah tersebut. Katanya, dia tidak akan membeli plot itu walau dengan harga 10 sen sekiranya tahu terdapat kuil di situ.

Pihak kuil menolak dakwaan bahawa mereka beroperasi secara haram dan menjelaskan bahawa mereka sedia berpindah sejak bertahun-tahun lalu, namun kerajaan Selangor tidak pernah menyelesaikan urusan dokumen bagi merasmikan tanah gantian yang diperuntukkan pada 1997.

Pertikaian undang-undang sivil antara Suhaili dan pihak kuil masih berterusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen