malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khairy desak Umno jujur isu Tabung Haji
Diterbitkan:  Aug 5, 2026 11:13 AM
Dikemaskini: 3:13 AM
ADS

Umno perlu mengakui kelemahan dalam tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran BN seperti yang didedahkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kata bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, dia memahami mengapa beberapa pemimpin Umno mempertahankan dapatan RCI, termasuk menafikan berlakunya salah laku atau rasuah dalam pengurusan TH, khususnya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, menurutnya, pendirian yang terlalu defensif itu tidak memenuhi harapan terhadap sebuah parti yang ingin dilihat komited kepada agenda reformasi dan pembaharuan.

"Saya tidak harap mereka ambil pandangan saya ketika kempen pilihan raya. Mungkin untuk kempen pilihan raya, kita terpaksa cakap tidak ada sakau, kita beri hibah yang lebih dan kekalkan subsidi haji untuk muassasah dan sebagainya.

“Bagaimanapun, apa yang saya nak lihat sekarang, mungkin menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU), saya rasa sudah tiba masanya untuk (Umno) jujur mengenai perkara itu dan katakan ada kegagalan tadbir urus.

“Jika kita ambil pendirian itu, orang akan kata sekurang-kurangnya Umno adalah sedikit bibit perubahan untuk bawa parti ke arah pemulihan sebab mereka mengaku,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap malam tadi.

Laporan RCI setebal 252 muka surat mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 dinyahklasifikasikan serta didedahkan kepada umum Rabu lalu, hampir dua tahun selepas suruhanjaya itu menyiapkan laporannya pada Julai 2022.

Antara dapatan utama RCI ialah TH didakwa menyembunyikan kedudukan kewangan sebenar selama beberapa tahun. TH juga dilaporkan mencatat keuntungan RM3.4 bilion pada 2017, sedangkan jika piawaian perakaunan yang betul digunakan, ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion, iaitu perbezaan hampir RM4.8 bilion.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan yang turut mengacarakan bersama podcast berkenaan berkata, kontroversi itu memberi peluang kepada Umno untuk menunjukkan kematangan politik dengan mengakui kelemahan sendiri, terutama ketika sokongan terhadap parti itu mula pulih.

"Umno tidak boleh menganggap gelombang sokongan semasa sebagai bukti bahawa parti tidak lagi perlu melakukan reformasi, memohon maaf dan memperbaiki kelemahan, sebaliknya hanya bergantung kepada naratif perpaduan Melayu.

‘Ini soal mengekalkan momentum politik," katanya.

Dia turut mengingatkan bahawa momentum politik yang dinikmati Umno ketika ini tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang kekal.

"Jika ada peluang untuk memperbaiki keadaan tetapi kita tidak merebutnya, dunia atau Allah mempunyai cara untuk menghukum kita. Jadi jangan sia-siakan peluang itu," katanya.

Dalam kempen PRN Negeri Sembilan, bekas Pengerusi TH, Abdul Azeez Rahim berkata dia bersedia disiasat sekali lagi susulan pendedahan laporan RCI TH.

"Saya sudah dibersihkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki pada 2021. Jika media mahu melihat buktinya, saya boleh tunjukkan surat rasmi yang saya terima," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh pulan menegaskan laporan RCI tidak menamakan mana-mana pemimpin Umno terbabit dalam penyelewengan.

"Jadi siapa pemimpin Umno yang dikatakan 'sakau' (mencuri) dana Tabung Haji?" soalnya.

Dia berkata, laporan RCI sebaliknya hanya menunjukkan kelemahan dalam aspek pengurusan dana tersebut.

"Jadi adakah kerugian itu berpunca daripada rasuah atau kelemahan pengurusan oleh kakitangan pentadbiran?

“Adakah pemberian hibah yang tinggi kepada pendeposit dan subsidi haji yang tinggi kepada jemaah dianggap sebagai 'sakau'?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen