Pemuda Pakatan Harapan (PH) mendesak semua menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan susulan kerjasama terbuka gabungan itu dengan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri Negeri Sembilan dan Johor.
Sayap pemuda PH itu berkata tindakan BN bekerjasama dengan PN menunjukkan gabungan berkenaan tidak lagi menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada pemimpinnya dalam Kerajaan Perpaduan.
“Malahan, mereka lebih cenderung kepada percaturan politik sempit demi kepentingan jangka pendek.
“Kami menempelak kenyataan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan secara terbuka bahawa sokongan pengundi kepada calon BN dan PN di peringkat negeri merupakan medan uji formula dan berpotensi diterjemahkan kepada skala nasional menjelang PRU16.

“Pengakuan pengerusi BN menunjukkan bahawa kerjasama BN-PN tersebut bukan lagi bersifat sementara atau taktikal.
“Sebaliknya, ia merupakan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baru yang menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan,” kata Pemuda PH pada kenyataan hari ini.
Penamaan calon PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan BN dan PN mengatur pembahagian kerusi bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
BN bertanding di 25 kerusi manakala PN meletakkan calon di 11 kerusi. Kesemua calon kedua-dua gabungan itu berdepan PH di 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Pemuda PH, percaturan tersebut memperlihatkan BN tidak lagi menghargai semangat kerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan, meskipun pemimpinnya memegang jawatan timbalan perdana menteri, beberapa portfolio menteri serta jawatan penting lain.
Dalam kenyataan bersama ketua-ketua penerangan sayap pemuda PH, mereka berkata kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang diterajui PH tetap memperuntukkan jawatan exco kepada BN selepas PRN 2023 sebagai tanda menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.
“Tindakan BN yang berulang kali menguji kesabaran rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen sebenar BN," kata mereka.
Pemuda PH berkata perletakan serta-merta jawatan semua menteri dan timbalan menteri BN membolehkan gabungan tersebut dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengukuhkan kerjasama politiknya dengan PN.

Menurut Pemuda PH, langkah itu juga penting bagi memastikan percaturan politik BN tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan persekutuan.
“Pemuda PH percaya bahawa peletakan jawatan mereka merupakan langkah yang wajar diambil untuk mengurangkan kekeliruan rakyat terhadap modus operandi BN, agar BN boleh menghentikan sikap 'talam dua muka' dan memastikan bahawa “formula baru BN-PN” yang diidam-idamkan boleh direalisasikan sepenuhnya.
“Peletakan jawatan itu turut dapat mengurangkan risiko sebarang percubaan menebuk atap yang boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan, serta memberikan ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.


