malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Inkues: Temu bual ibu bapa Zara penting kepada pakar
Diterbitkan:  Jul 18, 2026 7:45 AM
Dikemaskini: 11:45 PM
ADS

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu semalam diberitahu temu bual yang dijalankan bersama ibu bapa Zara Qairina Mahathir adalah sebahagian daripada proses untuk memahami sejarah perkembangan dan latar belakang psikososial remaja berkenaan.

Pakar perunding psikiatri, Dr Wong Haw Huo, berkata sesi berkenaan bertujuan mendapatkan maklumat tambahan serta memahami latar belakang termasuk bapa Zara Qairina iaitu Mahathir Hashim.

Katanya Zara Qairina masih dalam peringkat perkembangan, justeru penting untuk memahami pelbagai aspek berkaitan ibu bapanya termasuk mengenal pasti penjaga utama, latar belakang mereka dan ciri psikologi, temperamen dan keperibadian.

“Zara sedang dalam proses membesar dan menuju alam dewasa, dan ini merupakan fasa perkembangan dirinya. Amat penting bagi kami untuk memahami siapa ibu bapanya,” kata doktor terbabit semasa menjawab soalan peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili Mahathir pada inkues semalam.

Nurul Rafeeqa bertanyakan mengapa terdapat keperluan untuk menemu bual ibu bapa terbabit tentang zaman kanak-kanak dan perkahwinan mereka jika tujuan laporan berkenaan adalah untuk menilai hubungan antara Zara Qairina dan ibu bapanya serta keadaan kesihatan mental sebelum kematiannya.

Dr Wong berkata temu bual ibu bapa adalah satu keperluan mandatori termasuk bagi mengumpul maklumat mengenai kehidupan mereka sebelum kelahiran Zara Qairina untuk memastikan pemahaman yang tepat berasaskan prinsip perkembangan.

“Ia (temu bual) akan memberikan kami gambaran yang munasabah dan jelas,” katanya.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan berhampiran longkang di asrama sekolahnya pada kira-kira jam 4 pagi.

Prosiding inkues dihadapan koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung 24 Ogos.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen