PARLIMEN l Kerajaan menafikan dakwaan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, memasuki negara ini tahun lepas bagi rundingan rahsia berkaitan pembayaran semula hutang atau pakej penyelesaian melibatkan 1MDB.
Perkara ini dibangkitkan semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pagi ini, menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menjawab soalan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai isu berkenaan.
"Terima kasih Yang Berhormat Muar. Saya dengan ini menafikan dakwaan tersebut," kata Liew.

Syed Saddiq turut mempersoalkan sama ada Kementerian Kewangan mengetahui mengenai dakwaan rundingan itu memandangkan isu 1MDB melibatkan pengurusan kewangan kerajaan, selain meminta pengesahan mengenai status penglibatan Jho Low yang masih bebas hingga kini.
Dakwaan rundingan rahsia
Sebelum ini, Sarawak Report dalam satu rencana mendakwa Low, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia kerana peranannya dalam skandal 1MDB, berperanan penting dalam "rundingan rahsia antara China dan Malaysia" untuk menghapuskan hutang berkaitan 1MDB pada penghujung tahun lepas.
Laman pembongkar yang disekat oleh pihak berkuasa Malaysia itu memetik sumber yang mendakwa bahawa mesyuarat melibatkan Low berlaku di Kuala Lumpur, kononnya di bawah "perlindungan" delegasi China.
Laporan itu mendakwa rundingan tersebut, yang dihadiri oleh Low, bertujuan menyelesaikan isu berkaitan 1MDB antara Malaysia dengan China, khususnya peranan Beijing yang didakwa membantu bekas perdana menteri yang kini dipenjarakan, Najib Razak menutup skandal berkenaan.

Susulan itu, polis pada 16 Mei menyatakan bahawa mereka akan menyiasat bagi mengesahkan dakwaan tersebut.
Menjawab soalan asal Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai hutang 1MDB dan usaha mendapatkan dana yang telah diseleweng, Liew berkata kerajaan terus mempergiat usaha mendapatkan aset 1MDB, termasuk melalui pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Najib.
Barangan mewah
Katanya, Mahkamah Tinggi Malaya pada 25 Dis 2025 menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion terhadap Najib selepas didapati bersalah atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berkaitan 1MDB.

Liew berkata saman sivil terhadap Rosmah Mansor pula bertujuan mendapatkan kembali AS$380 juta (kira-kira RM1.56 bilion) ganti rugi berhubung dana 1MDB yang digunakan untuk membeli barangan mewah termasuk beg tangan dan barangan kemas.
“Ketiga, pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Jho Low yang menjadi dalang utama penyelewangan 1MDB, dengan nilai tuntutan sivil bernilai AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.4 bilion),” katanya.
Empat bentuk kerugian negara
Dia berkata kerajaan menganggarkan skandal 1MDB telah mengakibatkan empat bentuk kerugian utama kepada negara, iaitu kerugian kewangan, kos peluang, kerugian yang sukar dipulihkan serta kesan terhadap reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Liew berkata setakat 30 Jun lepas kerajaan telah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen 1MDB termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi, serta komitmen lain.
Di samping itu, beliau berkata kerajaan masih bertanggungjawab menanggung Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Islamic Medium Term Notes) berjumlah RM8.9 bilion yang matang pada 2039, meliputi bayaran prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion

“Ini bermakna, secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion,” katanya.
Liew berkata kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana sebanyak RM31.3 bilion, manakala baki obligasi RM20.1 bilion terpaksa ditanggung kerajaan jika tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan.

