Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah dimaklumkan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memberikan perkenan untuk mana-mana surau atau musala di pusat beli-belah di negeri itu, diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata ketetapan itu berdasarkan faktor sekiranya surau atau musala di pusat beli-belah dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat, perkara itu akan menjejaskan usaha untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah umat Islam.
Beliau berkata keadaan itu boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk mendirikan solat Jumaat di surau atau musala di pusat beli-belah.
“Pada masa ini, terdapat 448 masjid dan 379 surau yang diberi kebenaran solat Jumaat di Selangor. Jumlah ini menunjukkan masjid dan surau yang dibenarkan itu mencukupi serta mampu menampung jumlah umat Islam sedia ada di Selangor.
“Sebagai tambahan, terdapat juga masjid dan surau yang berada berhampiran dengan pusat beli-belah bagi memudahkan orang awam mendirikan solat Jumaat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagi tujuan memberikan kebenaran solat Jumaat di surau atau musala di pusat beli-belah, Salehuddin berkata pihak MAIS juga perlu mengambil perhatian terhadap aspek bagi pelantikan imam, bilal dan petugas lain yang diperlukan serta pengurusan dan tadbir urus agar menepati segala peraturan serta dasar yang telah ditetapkan majlis itu.
“Jika petugas bagi surau kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tersebut tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyebabkan kesukaran dari aspek pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan surau atau musala tersebut termasuk memastikan pematuhan serta keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak MAIS,” katanya.
Salehuddin berkata walaupun pada masa ini terdapat satu surau atau musala di pusat beli-belah di Selangor yang telah diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat, langkah itu bersifat sementara berikutan tiada masjid yang berdekatan dengan premis berkenaan.
“Kebenaran sementara ini akan ditarik balik jika terdapat pembinaan masjid yang berdekatan dengan pusat beli-belah tersebut pada masa hadapan yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.
Beliau berkata ketetapan oleh Sultan Selangor itu selaras dengan ajaran dan syiar Islam agar umat Islam memperkukuh fungsi serta peranan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam, selain menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah.
“Oleh itu, MAIS menyeru seluruh umat Islam di Selangor untuk terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi tersebut dapat dijadikan sebagai pusat perpaduan umat Islam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya mengambil maklum pendirian Kerajaan Persekutuan melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berhubung cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.
Susulan itu, MAIS menegaskan bahawa perkara berkaitan masjid atau surau atau musala terletak di bawah senarai negeri selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Di Selangor, Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat apa-apa ketetapan berhubung dengan pentadbiran agama Islam termasuk ketetapan kebenaran solat Jumaat bagi surau/musala,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid atau surau atau musala tertakluk pada kebenaran bertulis MAIS di bawah Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
- Bernama

