malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRN Johor dibuat awal demi bebaskan Najib - Anwar
ADS

PRN JOHOR | Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan semata-mata kerana ada pihak yang mahu kembali berkuasa demi membebaskan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Sambil menegaskan PRN Johor sebenarnya tidak perlu diadakan ketika ini, perdana menteri berkata tindakan itu dicetuskan oleh pihak yang merasakan kedudukan mereka sudah cukup kuat untuk menguasai semula tampuk pemerintahan negara.

“Pilihan raya tak perlu sekarang, dia paksa juga. Untuk apa? Sekarang kita dah tahu, sebab mereka rasa mereka cukup kuat nak berkuasa kembali seperti dulu, kemudian tentunya nak bebaskan Najib.

“Saya, bersama rakan-rakan PH diheret terpaksa masuk pilihan raya,” katanya ketika berucap pada ceramah mega PH di DUN Serom di Johor malam tadi.

Ceramah itu dihadiri lebih 600 pengundi daripada DUN Serom dan Tangkak yang kebanyakan terdiri daripada kaum Cina dan Melayu.

Turut hadir, Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Untuk rekod, pemimpin PH membangkitkan isu pembebasan Najib dalam hampir setiap ceramah khususnya di kawasan majoriti masyarakat Cina.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut sebelum ini ditepis oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, soal pembebasan bekas perdana menteri itu tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa institusi diraja dan tiada kaitan dengan saingan politik di peringkat negeri.

"Tidak. Tidak kena-mengena. Itu adalah kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang di-Pertuan Agong. Itu bukan isunya di negeri Johor," tegas Zahid ketika mengulas dakwaan berkenaan.

Untuk rekod, Najib mula menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman ke atasnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Walau bagaimanapun, Lembaga Pengampunan pada awal tahun 2024 telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain mengurangkan nilai denda asal RM210 juta kepada RM50 juta.

Selain kes SRC International, bekas presiden Umno itu baru-baru ini turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi pada Disember 2025 selepas mahkamah mendapati dia bersalah terhadap 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sedia berundur

Mengulas lanjut mengenai hala tuju PH, Anwar menyatakan kesediaan untuk berundur daripada jawatannya sekiranya ada pihak lain yang mampu memimpin dengan lebih baik, khususnya dalam membanteras rasuah.

Bagaimanapun, dia membayangkan tidak akan menyerahkan kuasa kepada pemimpin yang mempunyai rekod salah guna kuasa atau rasuah.

"Kalau mahu jaga negara, nombor satu, ketua-ketuanya mesti betul. Kalau kaki curi, tak boleh. Mereka mahu mengawal semula negara. Tapi kalau kawal untuk apa? Ada dia cerita, kita mahu satu negara yang lebih bersih, tiada rasuah?

"Kalau ada pasukan yang jauh lebih baik daripada PH, saya tabik, silakan. Tapi, kalau yang saya kenal, tak boleh, jahanam ini negeri," katanya.

Sementara itu, Anwar turut mempersoalkan keputusan menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada pertengahan bulan, yang disifatkannya sebagai satu taktik yang menyukarkan pengundi luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

"Bila kita minta hari Ahad, dia (SPR) tetapkan hari Sabtu. Kita minta akhir bulan, dia tetapkan awal bulan. Belum gaji lagi.

"Ini pilihan raya bagi susah orang mengundi. Patut pilihan raya bagi orang senang mengundi. Tapi ini kenyataan,” katanya.

Menyedari kecenderungan peratusan keluar mengundi yang rendah bagi pilihan raya negeri, dia membuat rayuan terbuka kepada seluruh penyokong PH, termasuk rakyat Johor yang bekerja di Singapura, untuk pulang mengundi pada Sabtu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen