malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Salahkah saya cadang anak jadi calon, soal Puad
Diterbitkan:  Jun 25, 2026 7:49 PM
Dikemaskini: 12:34 PM
ADS
2

Bekas pemimpin Umno Mohd Puad Zarkashi menafikan tindakannya keluar Umno semata-mata kerana anaknya tidak dipilih menjadi calon dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, dia memprotes sistem pemilihan calon yang dilakukan parti itu.

"Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kenapa itu jadi isu? Kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan ketua bahagian Ledang boleh bertanding di Serom.

"Tidak salah mencadangkan anak yang terlatih sebagai calon. 

“Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk gelanggang setelah dia cukup bersedia untuk bertempur," katanya pada hantaran terbaru di Facebook, hari ini.

Terdahulu hari ini, bekas speaker DUN Johor itu mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta-merta, dengan mendakwa parti berkenaan tidak lagi bebas membuat keputusan kerana ‘dikawal’ istana.

Katanya, Umno kini tidak perlu bersusah payah memecatnya, sekali gus memudahkannya untuk berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti itu dari belakang.

Semalam, penyandang kerusi Rengit itu berkata, dia merasakan ada yang “tidak kena” dengan Umno Johor selepas melihat senarai calon BN yang akan bertanding pada PRN kali ini.

Umno: Puad ugut sebab anak tak jadi calon

Sebelum ini, Mohd Puad menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan berpendidikan.

Bagaimanapun, dia kemudiannya mendakwa saranan itu tidak diendahkan oleh kepimpinan parti.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan kekesalan terhadap tindakan Puad yang mengumumkan keluar daripada parti serta-merta selepas tuntutan peribadinya untuk mencalonkan anak sendiri tidak dipenuhi oleh kepimpinan tertinggi parti.

Asyraf mendakwa Puad sebelum ini telah mengemukakan ugutan akan menyerang Umno sekiranya anaknya tidak dipilih menggantikan dirinya di Rengit.

Bagaimanapun, Puad berkata Asyraf perlu mendedahkan terlebih dahulu punca tindakannya sebelum ahli Umno sendiri yang mendedahkannya.

Dia turut mempersoalkan keputusan BN mencalonkan semula penyandang Adun Endau, Alwiyah Talib, walaupun tidak sampai sebulan kembali menyertai Umno selepas dua penggal menjadi wakil rakyat Bersatu.

"Itu angkara siapa? Alwiyah umur 64 tahun. Kenapa korbankan ketua puteri Johor yang juga ketua puteri Mersing. Apakah ketua pemuda Umno Mersing juga tidak layak. Kenapa BN tolak calon anak muda. Hebatkah si Alwiyah itu?

Penyandang Adun Endau, Alwiyah Talib.

"Itu juga yang berlaku kepada Azizul Bachok bekas Adun Tiram. Dia orang muda.

“Dia baru sepenggal jadi YB. Di saat terakhir dia digugur dan diganti oleh YB Senator Halim Sulaiman yang berumur 64 tahun. Tidakkah itu kronisme?

"Maka sistem pilih calon itu yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada?

“Parti jadi milik eksklusif. Sebab itu saya melakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin," katanya lagi.

Puad turut memberi amaran akan mengulas lanjut isu pemilihan calon dalam tempoh sehari dua lagi, termasuk berhubung dakwaan pengisian jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melibatkan anak dan isteri pemimpin Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2